Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Saya sudah cukup bosan dan letih dengan isu 1MDB’

KATA MP l DAP mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana telah menjadikan 9 Mei tahun lalu sebagai tarikh bersejarah dengan mengubah kerajaan untuk kali pertama dalam 61 tahun bagi mewujudkan Malaysia Baharu.

Dari perspektif kementerian kewangan, antara pencapaian utama ulang tahun pertama termasuklah:

  • Transformasi Malaysia daripada sebuah kleptokrasi kepada sebuah negara bersih yang berkongsi kemakmuran bersama rakyat
  • Membayar RM37 bilion untuk bayaran-balik GST dan cukai pendapatan
  • Pengurangan RON95 daripada RM2.20 kepada RM2.08 seliter; penjimatan RM24.65 billion daripada pengurangan kos ratusan projek kerajaan termasuk LRT3 dan MRT2
  • Juga penyelamatan Felda dan Tabung Haji yang menelan belanja RM24 bilion.

Reformasi institusi, pelaksanaan sistem tender terbuka dan pendirian anti-rasuah yang kukuh telah berjaya mengubah reputasi Malaysia daripada sebuah “kleptokrasi global terparah” kepada sebuah negara bersih yang kita dibanggakan.

Penjimatan daripada usaha membanteras rasuah akan segera dikongsikan dengan rakyat Malaysia. Pengurangan harga RON95 daripada RM2.20 seliter kepada RM2.08 seliter membuktikan bahawa kerajaan PH memegang kepada janjinya untuk mengurangkan harga petrol.

Dasar penstabilan harga petrol ini memerlukan kerajaan PH berbelanja RM2 bilion sebagai subsidi petrol tambahan.

Rasionalisasi kos ke atas ratusan projek kerajaan yang dipersetujui oleh pentadbiran terdahulu telah memberikan penjimatan RM24.65 bilion tanpa memberi kesan besar terhadap skop kerja dan kualiti kerja yang dilakukan, dan akan memanfaatkan rakyat sepanjang tempoh 10 tahun.

Ini adalah sebelum mengambil kira penjimatan RM21.5 bilion yang diperoleh apabila kos projek East Coast Rail Link (ECRL) dikurangkan daripada RM65.6 bilion kepada RM44 bilion.

Kejayaan ini menunjukkan bahawa perubahan kerajaan telah membenarkan rakyat Malaysia berjimat sebanyak RM46.15 bilion dalam kos pembinaan dengan begitu sahaja.

Penjimatan RM46.15 bilion ini tidak termasuk pembatalan projek yang tujuannya diragui seperti projek saluran paip pelbagai-produk dan gas bernilai RM9.4 bilion, di mana 88 peratus daripada kos projek atau RM8.3 bilion telah dibayar walaupun hanya 13 peratus kerja telah dilaksanakan.

Lebih parah lagi, 13 peratus kerja yang dikatakan siap tersebut masih tidak dapat disahkan dan tidak dapat dikesan.

Pembayaran balik tunggakan GST dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion yang telah digunakan oleh kerajaan terdahulu tanpa kebenaran hampir 1.65 juta pembayar cukai pendapatan dan 121,000 pembayar GST sedang berlangsung dan ia akan dibayar sepenuhnya pada Oktober tahun ini.

Kerajaan juga telah memperoleh dana sebanyak RM24 bilion untuk menyelamatkan Tabung Haji dan Felda yang sebelum ini mengalami kerugian besar akibat salah urus kewangan dan penipuan secara terang-terangan.

PH menghadapi cabaran daripada pelampau kaum dan agama yang ingin memecah-belahkan negara kita dan mengganggu keharmonian agama dengan mengadu domba antara rakyat Malaysia, agar mereka dapat kekal relevan.

Misalnya, Tabung Haji telah dijadikan sebuah isu perkauman oleh kumpulan tertentu dengan menyalahkan DAP, sambil melepaskan pihak yang merosakkan institusi tersebut meskipun DAP yang membantu mendapatkan RM17.8 bilion dana untuk menyelamatkan Tabung Haji.

Begitu juga dengan peruntukan untuk sekolah jenis Cina dan Tamil yang telah dijadikan isu perkauman terhadap DAP oleh kumpulan yang sama yang melupakan fakta bahawa peruntukan untuk sekolah-sekolah agama telah meningkat.

Pemulangan semula dana 1MDB berjumlah hampir RM1.5 bilion daripada Amerika Syarikat dan Singapura, yang akan membantu pembayaran balik hutang 1MDB sebanyak hampir RM51 bilion, adalah sebuah bukti jelas bahawa skandal 1MDB ini wujud, dan bukannya suatu fitnah seperti dakwaan parti-parti pembangkang.

Jujur saya nyatakan, saya sudah cukup bosan dan letih dengan isu 1MDB yang memakan begitu banyak masa dan perhatian saya. Moga-moga kita akan dapat menumpukan lebih perhatian kepada rakyat Malaysia biasa bermula dari sekarang, dan bukannya kepada projek-projek mega atau skandal kewangan yang lalu.

Fokus utama kita ialah untuk mencipta peluang pekerjaan, membantu perniagaan tingkatkan pertumbuhan ekonomi ke arah mewujudkan negara keusahawanan.

Walaupun PH telah berjaya mengurangkan kadar inflasi secara signifikan daripada 3 peratus pada 2017 ke hanya 1 peratus pada 2018, kos sara hidup belum turun seiringan dengan kadar inflasi.

PH komited untuk menjalankan lebih banyak projek kecil untuk rakyat biasa, dan ini berbeza daripada ketaasuban pentadbiran terdahulu terhadap projek mega yang hanya menguntungkan kroni-kroni mereka.

Selamat ulang tahun pertama Malaysia baharu!


LIM GUAN ENG adalah menteri kewangan dan setiausaha agung DAP.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS