Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Setiausaha Pusat Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) S Barathidasan mendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menubuhkan satu unit baru tanpa mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dakwanya unit tersebut yang dikenali sebagai Cawangan Siasatan Dalaman Khas (USD) ditubuhkan sejak 2 Jan tahun ini dan beroperasi dengan hampir 20 pegawai kastam yang dipilih daripada jabatan kastam negeri.

"Kesemua pegawai di bawah cawangan USD masih dibayar gaji oleh jabatan kastam negeri kerana unit ini tidak diluluskan (JPA)," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun S Barathidasan mendakwa skop tugasan unit tersebut adalah sama dengan cawangan integriti yang ditugaskan untuk memantau salah laku pegawai JKDM.

Malah beliau juga mendakwa unit berkenaan turut menahan orang awam walaupun tidak diberi kuasa berbuat demikian.

Sehubungan itu Barathidasan menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi penjelasan mengapa unit itu masih beroperasi sedangkan ia tidak mendapat kelulusan JPA dan memiliki tugas bertindih.

"Saya percaya penubuhan unit ini mempunyai agenda tersendiri kerana JKDM sudahpun mempunyai Cawangan Intergriti bagi mengawasi pegawai-pegawai JKDM yang disyaki menawarkan atau menerima rasuah.

"Jadi, saya harap Lim Guan Eng akan segera tampil ke depan dan menjelaskan bagaimana cawangan ini masih beroperasi. Adakah beliau tahu penubuhan cawangan ini? Kalau tidak sila ambil tindakan," tegas Barathidasan.

Untuk rekod bekas Ketua Pengarah Kastam, T Subromaniam pada Dis lalu berkata cawangan siasatan dalam khas tersebut merupakan langkah proaktif JKDM untuk memastikan tahap kepatuhan dan integriti pegawai berada pada tahap sepatutnya.

Beliau berkata cawangan tersebut menyiasat kes-kes yang melibatkan sindiket- yang mendapatkan bantuan dalaman daripada pegawai JKDM.

Tambah Subromaniam peruntukan Seksyen 137 Akta Kastam 1967 memberi kuasa kepada pegawai kastam menyiasat mana-mana pegawai kastam yang menawarkan atau mengambil rasuah.

'JKDM enggan bubar'

Sementara itu, sumber daripada JPA memberitahu Malaysiakini bahawa jabatan itu telah meminta JKDM untuk membubarkan unit berkenaan.

"Kami dah minta JKDM untuk bubarkan cawangan ini. Tapi, mereka enggan," kata sumber tersebut.

JKDM ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan akan membuat satu kenyataan dalam masa terdekat. 

Sementara itu, Malaysiakini juga sedang menghubungi pejabat Lim bagi mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS