Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersih dakwa Warisan guna aset kerajaan untuk berkempen
Diterbitkan:  May 10, 2019 11:46 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

PRK SANDAKAN | Kerajaan negeri didakwa Bersih menggunakan sumber dan jentera kerajaan untuk berkempen memenangkan calon PH dalam pilihan raya yang akan diadakan esok.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini gabungan pendesak reformasi pilihan raya itu merujuk kepada dua insiden dengan salah satunya membabitkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Kata Bersih Shafie dilaporkan mahu salah seorang menterinya meneliti status tanah yang terdapat dalam petempatan Kampung Forest.

Berdasarkan laporan portal berita Sabah News Today, kata Bersih kerajaan akan memberikan geran kepada pihak yang berkenaan jika didapati layak.

"Arahan yang dikeluarkan itu mungkin akan memberikan pengaruh tidak wajar kepada pengundi di Sandakan untuk mengundi parti yang mewakili kerajaan negeri hari ini iaitu DAP.

"Walaupun kami memahami tugas ketua menteri memerlukan beliau turun ke lapangan dan menyelesaikan masalah rakyat seperti isu tanah, sampah dan sebagainya, namun banyak persoalan boleh ditimbulkan.

"Misalnya mengapa baru sekarang iaitu ketika proses kempen PRK Sandakan sedang berjalan?" kata Bersih.

Pertubuhan itu juga merujuk kepada klip video Setiausaha Politik Mohd Shafie, Jo Anna Rampas, yang menunjukkan jentera kempen Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menuju ke Pulau Berhala menaiki bot polis, dan dipandu anggota polis.

Kata Bersih apa yang dilakukan itu adalah penyalahgunaan jentera kerajaan dan tidak sepatutnya berlaku dalam Malaysia Baru dan Sabah Baru.

"Apakah akan terjadi sekiranya bot tersebut diperlukan untuk operasi menyelamat atau ada isu keselamatan perairan Sandakan?

"Banyak kejadian tidak terduga boleh berlaku sekiranya bot polis digunakan tanpa justifikasi yang jelas seperti digunakan untuk kempen pilihan raya," katanya.

Bagaimanapun menurut Bersih semakan mereka di akaun Instagram pegawai Mohd Shafie itu mendapati klip video tersebut sudah dipadamkan.

Kata Bersih tindakan pemimpin Warisan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen dan menabur janji kepada pengundi wajar dikutuk.

"Ia adalah perbuatan tidak wajar serta salah guna aset kerajaan untuk tujuan politik, dan dalam kes ini untuk mendapat undi dalam PRK Sandakan," katanya. 

Lihat Komen
ADS