Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Segera wartakan jawatan menteri PH
Diterbitkan:  May 10, 2019 2:24 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengakui terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong atas jawatan anggota kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang belum diwartakan setakat ini.

Menurutnya, mengikut Seksyen 2 Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969, setelah menteri dan timbalan menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kerajaan perlu mewartakan perintah tersebut.

“Kerajaan perlu mewartakan perintah YDPA yang dinamakan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2019,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Baru-baru ini, Liew yang juga anggota parlimen Batu Sapi menjelaskan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sudah memberi lampu hijau kepada perintah tersebut.

Tanpa pewartaan kedudukan masing-masing, kata Liew, ia menjejaskan fungsi serta mengganggu kelancaran urusan pentadbiran.

Mengikut peraturan, pewartaaan sesuatu jawatan perlu dibuat untuk menjadikan tugas seseorang menteri serta agensi dan jabatan yang ada bawah kementeriannya wujud secara rasmi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin menggesa agar pewartaan jawatan ahli kabinet dilakukan dengan segera.

“Pewartaan jawatan ahli kabinet amatlah penting dan perlu dibuat segera.

“Ini bagi mengesahkan fungsi serta bidang tugas menteri dan timbalan menteri yang dilantik tersebut,” katanya.

Tambah Takiyuddin, tindakan mewartakan perlantikan ini tidak sewajarnya dianggap remeh oleh kerajaan kerana ia melibatkan keabsahan (legality) tugas ahli kabinet berkenaan.

Semakan pada Warta Kerajaan Persekutuan menunjukkan, selepas kerajaan bertukar daripada BN ke PH hasil PRU ke-14 tahun lalu hanya jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang diwartakan setakat 22 Mei tahun lalu.

Sebagai perbandingan kabinet BN diwartakan pada 26 Jun 2013 iaitu kurang dari dua bulan selepas PRU ke-13 diadakan. PRU dijalankan pada 5 Mei 2013.

Tidak dapat dipastikan mengapa kerajaan PH belum mewartakan menteri-menterinya.

Lihat Komen
ADS