Paling Popular
Terkini

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, mencabar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) mendakwa ia bertentangan dengan perlembagaan dan peruntukan di bawah undang-undang tersebut menyekat haknya untuk berdiam diri.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi mendengar permohonan Rosmah ini ketika peguamnya membuat serahan bagi membatalkan notis yang difailkan pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haramnya.

Notis itu meminta Rosmah untuk mengisytiharkan hartanah yang dibelinya.

Pihak pembelaan berhujah notis di bawah Seksyen 49 Amla itu melanggar hak Rosmah untuk mendapatkan perbicaraan adil serta keistimewaannya untuk tidak menunjukkan dirinya bersalah (self-incrimination).

Peguam Rajivan Nambiar yang mewakili Rosmah memberitahu mahkamah bahawa kerajaan menyalahgunakan kuasa untuk memaksa anak guamnya menjawab soalan pendakwaan yang bertentangan dengan haknya untuk berdiam diri.

'Mudaratkan Rosmah'

"Anggapan tidak bersalah merupakan hak asas di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika membuat serahan di mahkamah.

Rajivan juga berhujah notis yang memaksa Rosmah itu "sangat memudaratkan" anak guamnya dan keadaannya sama seperti pendakwaan memintanya untuk mendedahkan hujah pembelaan selepas menuduhnya di mahkamah.

Sementara itu, peguam Reza Rahim yang juga rakan sejawat Rajivan dalam pasukan pembelaan berpendapat notis Seksyen 49 Amla itu merupakan cubaan untuk mendapatkan maklumat daripada Rosmah melalui "paksaan, penindasan, dan bertentangan dengan kehendaknya."

Kata Reza, Amla tidak sama dengan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang mencerminkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk menggangtung hak-hak suspek atas nama keselamatan negara.

Bagaimanapun, ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram (gambar) berhujah notis pihaknya merupakan prosedur penyiasatan, suatu perkara sebelum perbicaraan bermula, justeru tidak menyekat hak Rosmah untuk mendapatkan perbicaraan adil.

Gopal menjelaskan Amla merupakan undang-undang khas digubal parlimen bagi menangani kegiatan pengubahan wang haram.

Menurutnya, akta itu dirangka untuk mencari hartanah yang disyaki menjadi perkara siasatan dalam pengubahan wang haram.

"Dan orang yang memiliki hartanah ini ialah orang yang terbaik untuk mendedahkan maklumat mengenai hartanah berkenaan," katanya kepada mahkamah.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak, Hakim Mohamed Zaini Mazlan memberitahu para peguam, beliau akan menyampaikan penghakimannya pada 24 Mei.

Bulan lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan notis terhadap Rosmah untuk mengisytiharkan pembelian hartanahnya dalam kes pengubahan wang haram yang dihadapinya itu.

Rosmah menghadapi 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima lagi tuduhan kerana didakwa gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 4 Oktober tahun lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS