Guan Eng beri 6 sebab DAP menang besar di Sandakan
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini memberikan enam sebab DAP menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.
Menurutnya, DAP terkejut dengan kemenangan besar calonnya Vivian Wong dengan majoriti undi sebanyak 11,521 meskipun terdapat pengurangan ketara dalam peratusan keluar mengundi - sebanyak 18 peratus daripada 72 peratus - pada PRU ke-14.
“Pertama, keyakinan dan sokongan penuh pengundi Sandakan untuk Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang telah bersama-sama turun berkempen dari rumah ke rumah selama berhari-hari dan berucap di dalam banyak ceramah DAP, termasuk 45 minit di ceramah kemuncak (grand finale) dalam hujan lebat tanpa berpayung.
“Ramai pengundi Sandakan, termasuk pengundi Melayu dan Muslim, tersentuh dengan semangat beliau untuk berkhidmat, membangunkan dan membawa perubahan untuk menjadikan Sabah lebih baik, lebih makmur dan bersih untuk semua tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya dalam kenyataan di Sandakan hari ini.
Sebab kedua yang diberikan oleh Lim, yang juga Menteri Kewangan, ialah keyakinan dan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Shafie sebagai pemimpin satu-satunya gabungan yang berkebolehan dan layak untuk menyatukan, mentadbir dan mewakili semua rakyat Malaysia secara geografi dan demografi.
“Seperti dibuktikan keputusan PRK Sandakan, pembangkang tidak mampu menandingi kombinasi Warisan, DAP dan PH dalam mengutamakan kesederhanaan dan menyatukan rakyat Malaysia dengan mewakili semua kaum, agama, dan kawasan.
“Penolakan politik perkauman yang memecah-belah dan merosakkan, ekstremisme agama, dan korupsi pembangkang ini adalah hadiah terbaik sempena ulang tahun pertama Warisan dan PH memenangi kuasa di peringkat negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sebab ketiga ialah sokongan untuk pembangunan berpaksikan rakyat berbanding kapitalisme kroni untuk menjadikan ekonomi Sandakan dinamik semula.
Sebab keempat ialah penolakan korupsi dan kerajaan kleptokrasi untuk diganti dengan pentadbiran secara baik dan bersih, kata Lim.
Beliau berkata rakyat sudah letih dan bosan dengan rasuah dan ia merupakan penolakan secara sepenuhnya anggota politik korup yang berkempen di Sandakan, seperti anggota Parlimen Kinabatangan dan mantan perdana menteri Najib Razak.
Lim berkata sebab kelima kemenangan DAP ialah sokongan terhadap kerja baik yang dilakukan oleh mantan Anggota Parlimen Sandakan yang juga bapa Vivian, iaitu Stephen Wong; idealisme dan keutuhan prinsip DAP; dan Vivian sebagai calon yang baik dan melambangkan masa depan dan pemerkasaan wanita dan golongan muda.
Sebab keenam yang diberikan Lim ialah jentera pilihan raya DAP dan mobilisasi pemimpin dan anggota yang mendapat sokongan kuat daripada Warisan dan PH membolehkan kempen menyeluruh diisi dengan tenaga, kepantasan, dan capaian pengundi yang meliputi keseluruhan kawasan parlimen.
“DAP ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan anggota Warisan, PH, dan DAP yang telah meluangkan masa untuk memberi sokongan dan memungkinkan kemenangan besar yang bersejarah ini berlaku,” katanya.
- Bernama

