Thailand mahu hapus persepsi selatan wilayah bergolak
Pihak berkuasa Thailand akan terus berusaha menghapuskan persepsi negatif khususnya di tiga wilayah mereka yang dianggap bergolak di selatan negara itu.
Malah, pemimpin dalam kalangan pihak berkuasa di Wilayah Patani, Yala dan Narathiwat itu melihat isu-isu pergolakan kini semakin pulih, sekali gus yakin pelbagai inisiatif digerakkan kerajaan dan rakyat bakal melahirkan masa depan yang jauh lebih baik.
Bagi Timbalan Ketua Polis (Sub Komandan) Daerah Yala, Kol Narin Busaman, berkata secara peribadi beliau sedar betapa Selatan Thailand sentiasa digembar-gemburkan dengan pelbagai persepsi negatif di sebalik insiden-insiden yang tidak diingini di kawasan itu.
Katanya, kejadian seperti pengeboman dan tembakan yang masih berlaku kini bukan hanya disebabkan isu yang berkait dengan keganasan.
Sebaliknya kata Narin, banyak kejadian seumpama itu berlaku sebenarnya disebabkan punca-punca lain.
"Antaranya melibatkan isu peribadi atau pergaduhan di antara mangsa dan suspek. Tetapi orang ramai - termasuk dari luar - memberi tanggapan tidak tepat.
"Ini antara persepsi yang sukar untuk difahami orang ramai khususnya orang luar, namun kami tetap lakukan yang terbaik untuk pastikan keadaan di sini aman dan selamat.
"Bagi kami, keadaan sekarang semakin baik dan berharap pemikiran masyarakat akan semakin positif selari dengan kepesatan pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, moral dan keagamaan," jelasnya ketika ditemui sekumpulan media Malaysia di pejabatnya di Yala, kelmarin.
Banyak peluang pekerjaan
Ditanya mengenai cabaran menghadapi isu keganasan Narin berkata, situasi hari ini jauh berbeza dengan apa yang terjadi pada masa lalu.
Jelasnya, jika dulu kerajaan terpaksa berdepan yang pengganas yang bergerak di dalam hutan, namun kini keganasan wujud dengan cara lain.
"Kami membuat kajian terhadap pengaruh pengganas yang menyerap pemikiran individu atau kumpulan tertentu di sini dan sukar untuk kita tahu motif mereka.
"Kalau dulu mudah untuk kita kenal pasti, misalnya kumpulan BRN (Barisan Revolusi Nasional) dan sebarang kumpulan lain.
"Tetapi sekarang ada yang mungkin terpengaruh dengan kumpulan dari Syria, Afghanistan atau Mindanao. Kita tak tahu (sukar kesan)," katanya.

Apabila dirisik, kata Narin, barulah pihak berkuasa mengetahui bahawa pemikiran setiap daripada mereka berbeza.
Bagaimanapun Narin enggan mendedahkan lebih mendalam butiran mengenai perkara itu atas faktor dasar dan etika kerjanya.
Sementara itu Narin berkata, pendekatan Thailand membuka banyak peluang pekerjaan dalam sektor awam kepada rakyat di wilayah itu memperlihatkan betapa pihak kerajaan tidak sesekali menganaktirikan golongan minoriti iaitu Melayu-Islam di negara berkenaan.
Mengambil contoh dalam pemilihan pegawai dan anggota polis, katanya, kerajaan turut membuka peluang khas kepada calon-calon yang terdiri daripada belia Melayu-Islam di tiga wilayah terbabit.
"Ini adalah antara usaha untuk memberi peluang kepada orang Melayu-Islam berkhidmat dalam sektor keselamatan di negara ini.
"Ia terserah kepada kita (rakyat) sendiri untuk ambil peluang atau tidak.
"Saya sendiri adalah contoh di sini, seorang yang beragama Islam berpeluang dan diberi kepercayaan untuk memegang jawatan penting dalam badan berunifom ini.
"Sebenarnya terserah kepada kita sendiri untuk buat pilihan, " katanya.
Menurut Narin, di peringkat kerajaan tempatan pelbagai pihak termasuk polis memperjelaskan isu seperti keganasan yang berlaku melalui pendidikan.
"Kesedaran dalam kalangan penduduk pasti perlu ditekankan melalui pendidikan.
"Kami sendiri kerap turun ke sekolah dan universiti untuk memberi penerangan kepada generasi muda.
"Selain itu, kami juga banyak melibatkan diri dalam komuniti masyarakat, buat aktiviti dan program bersama.
"Waktu ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada rakyat," ujarnya.

