Kira-kira 99 peratus kawasan yang terjejas di Klang, akibat kejadian paip utama pecah berhampiran Lebuhraya West-Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping Sabtu lepas, telah pulih pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan hanya Bandar Putera 2 serta Taman Sentosa, yang memperoleh bekalan air dari Kolam Lipat Kajang masih belum menerima bekalan air sepenuhnya.

"Bagi mengurangkan impak gangguan, kami melaksanakan kerja pemasangan dan pengalihan paip baru bersaiz 1400mm bagi penyelesaian kekal saluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan air melalui kolam berkenaan.

“Kami menyasarkan kerja pemasangan jajaran paip utama 1400mm ini akan dapat disiapkan sepenuhnya pada hari ini. Sejurus sistem paip utama baru ini diaktifkan, ia akan dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat ke kolam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, pihaknya juga masih menggerakkan bantuan lori tangki air secara berterusan ke lokasi dan premis yang masih terjejas serta Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Taman Rakyat dan Taman Sri Andalas masih beroperasi hingga bekalan pulih sepenuhnya.

Pengguna yang mahu mendapatkan maklumat dan status terkini situasi gangguan air boleh layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor.

Insiden tiga paip utama pecah di tapak projek WCE sejak Sabtu lepas menjejaskan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang.

- Bernama