Sebarang tindakan terhadap mana-mana doktor yang dikesan menyokong kumpulan antivaksin adalah di bawah bidang kuasa Majlis Perubatan Malaysia (MMC), kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun kata beliau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan kumpulan tersebut dan mengambil pendekatan untuk terus berdialog dengan mereka bagi menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin kepada semua bayi serta kanak-kanak.

“KKM memang sentiasa memantau sebarang kempen yang dianjurkan golongan antivaksin ini.

"Jika mereka mempunyai pendapat mereka (berkaitan suntikan vaksin), kita juga ada hujah kita sendiri.

“Mereka tidak boleh sekadar menyatakan pendapat mereka secara satu hala saja, mereka perlu berdialog dengan kita dan kita bersedia untuk berkongsi pentas dengan mereka bagi bercakap mengenai isu ini jika mereka mahu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang hari ini.

Ditanya mengenai bilangan doktor perubatan yang dikesan menyokong gerakan antivaksin itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya tidak ada membuat pemantauan mengenai isu berkenaan.

Namun katanya, masyarakat digalakkan melaporkan kepada MMC jika mendapati wujudnya dalam kalangan doktor yang menyokong kumpulan antivaksin supaya tindakan sewajarnya dapat diambil jika perlu.

Mengulas mengenai kertas cadangan KKM yang mahu mewajibkan bayi dan kanak-kanak diberi suntikan vaksin, beliau berkata ia kini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada kabinet.

“Saya dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) bahawa jawatankuasa terlibat membentangkan kertas cadangan itu kepadanya dan beliau pula akan bentangkan kepada saya, sebelum saya membawanya kepada kabinet.

"Perkara ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Banyak aspek yang perlu kita lihat dan ada beberapa isu kritikal yang saling berkait juga perlu diteliti.

"Apa yang penting adalah kita mahu anak-anak kita selamat dan tidak dijangkiti oleh orang yang tidak divaksin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan suntikan imunisasi vaksin di negara ini akan dikemukakan kepada KKM akhir April lalu.

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sebelum ini juga dilapor mendesak kerajaan mewajibkan suntikan vaksin bagi mengurangkan penyebaran penyakit yang dapat dielakkan di negara ini.

- Bernama