Bicara kes pecah amanah Najib, Irwan bermula Jan 2020
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan kes pecah amanah membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan kementerian kewangan, Mohd Irwan Serigar Abdullah bermula 6 Januari tahun depan.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika pengurusan kes hari ini juga menetapkan perbicaraan selama 52 hari.
Bagi bulan Januari, Hakim Mohd Nazlan menetapkan tarikh 6-9 Jan, 20-23 Jan dan 27-30 Jan untuk perbicaraan.
Mahkamah juga menetapkan perbicaraan pada bulan Februari iaitu 3-6 Feb, 10-13 Feb, 17-20 Feb dan 24-27 Feb. Pada bulan Mac pula, perbicaraan ditetapkan pada 2-5 Mac dan 9-12 Mac manakala bagi bulan April, tarikh bicara ditetapkan pada 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April.
“Tarikh perbicaraan kes selama 28 hari bermula 8 Julai hingga 22 Ogos depan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd,” katanya.
Pendakwaan kes ini dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin dan peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib serta K Kumaraendran bagi pihak Irwan Serigar.
Pada 25 Okt lalu, Najib, 66, dan Irwan Serigar, 62, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana kerajaan Malaysia berjumlah lebih RM6.6 bilion apabila kes itu disebut di Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya sebagai penjawat awam iaitu masing-masing atas kapasiti menteri kewangan dan ketua setiausaha perbendaharaan, kementerian kewangan telah diamanahkan ke atas harta iaitu wang antara RM220 juta dan RM1.3 bilion milik kerajaan Malaysia didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap harta tersebut.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.
Pada prosiding Januari lalu, pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil 70 orang saksi bagi memberi keterangan.
Saksi terbabit adalah sebahagian daripada 138 saksi berpotensi untuk dipanggil memberi keterangan.






