Parti Warisan Sabah (Warisan) menjelaskan bukan polisi partinya untuk melarang anggota polis Cawangan Khas (SB) daripada menghadiri majlis mereka.
Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata terdapat "satu atau dua kejadian" yang mana anggota SB diminta meninggalkan majlis kerana menyamar sebagai wartawan.
"Kami tidak boleh ada orang yang datang ke majlis kami mendakwa diri mereka sebagai wartawan. Ianya mengelirukan," katanya.
Wong berkata terdapat situasi di mana anggota SB duduk di tempat yang diperuntukkan bagi pihak media.
Sekiranya anggota SB memperkenalkan diri, kata Wong pihaknya akan menyediakan tempat duduk buat buat mereka.
"Ada sesetengah media membuat aduan tetapi kerana sopan mereka tidak meminta pihak bukan media untuk meninggalkan (tempat duduk tersebut).
"Pengamal media yang betul akhirnya terpaksa berdiri atau meninggalkan majlis," katanya lagi.
Menurut Wong lagi tiada yang rahsia mengenai sidang akhbar Warisan.
Ahad lalu, media tempatan melaporkan Wong dipetik sebagai berkata mengesahkan anggota cawangan khas diminta meninggalkan suatu majlis parti itu kerana menyamar sebagai wartawan.
