KES NAJIB | Pasukan pembelaan Najib Razak hari ini cuba untuk tidak mengaitkan bekas perdana menteri itu dengan keputusan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memberikan pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd.

Perbicaraan hari ini bermula dengan pihak pembelaan membuat pemeriksaan balas terhadap Naib Presiden (Hal Ehwal Sekretariat dan Perundangan) KWAP Azlida Mazni Arshad, yang membuat minit mesyuarat panel pelaburan KWAP yang memberikan pinjaman RM2 bilion pertama.

Azlida bersetuju dengan peguam Harvinderjit Singh bahawa panel pelaburan tidak perlu mendapatkan kebenaran mahupun tertakluk kepada anggota kabinet untuk membuat keputusan.

Mahkamah juga diberitahu bahawa panel pelaburan KWAP tidak dibenarkan meminjamkan wang kecuali panel berkenaan yakin ia akan memberi keuntungan.

Azlida juga bersetuju dengan Harvinderjit yang mengatakan bahawa ahli panel pelaburan itu maklum denda RM2 juta atau penjara sekiranya mereka disabitkan dengan kesalahan gagal menjalankan tugas ketika berada dalam panel itu.

Selain itu, Azlida juga bersetuju dengan peguam itu bahawa panel berkenaan tidak mempunyai minit mesyuarat yang mengandungi arahan daripada perdana menteri untuk meluluskan pinjaman RM3.95 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Minggu lalu, ketika disoal pendakwaan, Azlida memberi keterangan bahawa Najib menggesa Pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah untuk menyegerakan permohonan pinjaman RM3.95 bilion oleh SRC International.

Susulan itu, panel pelaburan itu dimaklumkan dengan permohonan Najib itu. Akhirnya, walaupun keberatan, panel berkenaan meluluskan pinjaman RM2 bilion itu selepas mendapat jaminan kerajaan.

Ketika pemeriksaan balas hari ini, Azlida bersetuju dengan Harvinderjit yang berkata panel berkenaan membincangkan pinjaman berkenaan dan menunda keputusannya yang menunjukkan keputusan meluluskan pinjaman itu tidak dibuat tergesa-gesa.

Berhubung nota tulisan tangan Najib yang disertakan dalam permohonan pinjaman itu, Azlida bersetuju bahawa ia tidak boleh dianggap sebagai arahan daripada Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Nota itu, yang menyatakan "setuju KWAP beri pinjaman pada SRC", ditulis dalam surat yang dihantar kepada Najib oleh SRC International pada 3 Jun 2011.

Harvinderjit kemudian berkata panel pelaburan berkenaan hanya bersetuju dengan pinjaman RM2 bilion pertama, selepas kerajaan bersetuju untuk menjamin hutang SRC International.

[Baca berita asal]