Mahkamah Persekutuan putuskan k’jaan negeri tiada kuasa tubuh PPS
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk menubuhkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS).
Dalam penghakimannya, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim, berkata PPS tidak boleh diwujudkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan kerana tiada peruntukan di bawah Akta itu yang memperuntukkan penubuhan persatuan seperti PPS.
Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang telah mengambil pendirian bahawa PPS bukan sebuah persatuan tetapi persatuan orang-orang yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis seperti Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan.
"Pada pandangan kami, kebergantungan responden (Kerajaan Pulau Pinang) pada seksyen 9 dan perenggan 101 (v) Akta Kerajaan Tempatan sebagai asas undang-undang bagi penubuhan PPS tidak disokong oleh fakta dan undang-undang," kata Hakim Zaharah yang menyampaikan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan oleh kerajaan persekutuan.

Beliau berkata tidak ada apa-apa dalam Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan penubuhan sebuah persatuan sukarela seperti PPS untuk membantu kerajaan negeri dalam pentadbiran negeri atau pelaksanaan fungsinya .
"PPS bertujuan menjadi inisiatif untuk melibatkan orang ramai dalam aktiviti yang bukan sebahagian daripada apa yang diperlukan untuk memastikan kerajaan negeri berfungsi," kata Hakim Zaharah.
Beliau berkata penubuhan sebuah badan dengan matlamat yang dinyatakan dalam melaksanakan pemantauan masyarakat adalah di luar bidang kuasa eksekutif kerajaan negeri.
Beliau berkata PPS adalah sebuah persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1966, sambil menambah peruntukan Akta itu menyatakan bahawa mana-mana persatuan mengandungi tujuh orang atau lebih, walau apapun tujuannya, ia tetap sebuah persatuan.
Beliau berkata, adalah jelas dalam afidavit Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh bahawa PPS adalah persatuan mengandungi sekurang-kurangnya 15 orang atau ramai orang.
Bagi membolehkan orang ramai menyertai dan membantu dalam menjaga ketenteraman awam, Parlimen telah menggubal undang-undang seperti Akta Rukun Tetangga 2012 dan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012, " katanya.

Hakim Zaharah berkata seksyen 6 Akta Pertubuhan menghendaki setiap persatuan tempatan didaftarkan sebelum ahli-ahlinya boleh mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti bagi atau bagi pihak masyarakat.
"PPS tidak pernah didaftarkan adalah fakta. Oleh itu, setiap ahli yang menganjurkan atau mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti PPS tanpa kebenaran bertulis daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) adalah melanggar subseksyen 6 (2) Akta Pertubuhan dan melakukan kesalahan ," kata beliau.
Hakim Zaharah berkata pendapat Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa PPS digunakan untuk tujuan yang memudaratkan ketenteraman awam tidak dapat dibuktikan, sambil menambah bahawa penggunaan budi bicara oleh beliau dalam mengeluarkan perintah untuk mengisytiharkan PPS menyalahi undang-undang adalah tidak munasabah dan tidak rasional.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan semakan kehakiman kerajaan negeri dan memutuskan bahawa PPS adalah menyalahi undang-undang kerana tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan.
Mahkamah Rayuan pada 2017 membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan mengisytiharkan bahawa PPS ditubuhkan secara sah di sisi undang-undang.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan sebahagian rayuan kerajaan Persekutuan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rayuan yang mengisytiharkan bahawa PPS ditubuhkan secara sah mengikut uncdang-undang.
Mahkamah juga mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengisytiharkan bahawa PPS bukanlah sebuah persatuan di bawah Akta Pertubuhan.
Keputusan itu disampaikan oleh empat hakim yang lain - Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Zaharah, dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif telah meletak jawatan.
- Bernama





