BERITA Malaysiakini

PMBK dakwa kegagalan pemaju punca tanah Kelantan bakal dilelong

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sejumlah 11 lot tanah yang didaftarkan atas nama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bakal dilelong pada 27 Mei ini disebabkan kegagalan syarikat pemaju membayar pinjaman bank.

PMBK dalam satu kenyataannya hari ini menjelaskan, perjanjian pembangunan bersama yang ditandatangani di antara PMBK, dengan dua syarikat pada 29 Jun 2011, membabitkan tanah 14 hektar yang dikenal pasti kerajaan negeri untuk projek Bandar Baru Tanjong.

Menurut anak syarikat negeri kerajaan Kelantan itu, bersesuaian dengan Akta Pengambilan Tanah 1960, pengambilan balik tanah itu sebelum ini dibuat PMBK sekali gus dinamakan sebagai pemilik berdaftar tanah berkenaan.

"Sebuah syarikat kemudian dilantik sebagai pemaju utama yang menyelaras keseluruhan pembangunan BBT, manakala sebuah syarikat lagi dilantik sebagai pihak yang melaksana dan menanggung segala kos termasuk pembangunan dan pengambilan tanah yang bernilai RM19.4 juta pada waktu itu.

"PMBK dan dua syarikat itu bersetuju bahawa tanah berkenaan tidak dipindahmilik kepada syarikat itu, sebaliknya akan dipindahmilik secara terus kepada pihak pembeli bagi unit projek kelak.

"Mengambil kira bahawa bayaran pengambilan bernilai RM19.4 juta, PMBK selaku pemilik berdaftar membenarkan syarikat berkenaan mendapatkan kemudahan pembiayaan ‘gadaian pihak ketiga tanpa tanggungan’ daripada bank untuk menyelesaikan pinjaman bagi pengambilan balik tanah dan seterusnya memulakan pembangunan di tanah terbabit," kata kenyataan yang dikeluarkan kepada media, hari ini.

Sebagai rekod, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob adalah juga pengerusi PMBK.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu notis pengisytiharan jualan mengenai lelongan aset PMBK diiklan melalui akhbar ini pada 13 Mei lalu, dengan harga rizab bernilai RM66.7 (nilai semasa).

Iklan itu menyatakan permohonan lelongan sebanyak 11 lot tanah oleh Malayan Banking Berhad (Maybank) selaku plaintif, manakala PMBK sebagai defendan.

Menurut notis tersebut, jualan melalui lelongan awam itu yang akan dibuat pada 27 Mei ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, membabitkan berkeluasan kira-kira 12.6 hektar di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu.

Sementara itu PMBK berkata, syarikat terbabit sudah menyiapkan fasa 1 pembangunan iaitu sebuah pasaraya besar Giant, manakala fasa 2 pula membabitkan sebuah pangsapuri setinggi 40 tingkat yang berjalan setakat penyiapan asas cerucuk dan terbengkalai sehingga kini.

Kenyataan itu menjelaskan PMBK sudah menyediakan pelan pembangunan di BBT dan bagi merealisasikan pembangunan itu, pengambilan tanah perlu dilakukan melalui kaedah yang ditetapkan undang-undang.

"Proses yang membabitkan jumlah kewangan yang tinggi ini sudah mendapat pembiayaan oleh pihak bank untuk menjayakannya, sebelum diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai keupayaan kewangan.

"Walaupun tanah itu didaftarkan atas nama PMBK, namun PMBK bukan pemilik sebenar memandangkan syarikat yang dilantik mempunyai hak 'de facto' ke atas tanah berkenaan.

"Tuntutan bank adalah untuk mendapatkan nilai tunggakan daripada lelongan tanah projek.

"Bank juga tidak membuat tuntutan penyelesaian tunggakan daripada PMBK, malah tuntutan sedemikian tidak dibenarkan di mahkamah," katanya.