Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri jamin tangani isu bazar Ramadan Jln Raja

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad memberi jaminan bahawa isu berkaitan pengudaraan dan banjir kilat di bazar Ramadan Jalan Raja di Kuala Lumpur akan ditangani.

Beliau berkata keadaan lembap di bazar itu sedang ditangani selepas perbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan dan langkah-langkah termasuk memasang penyaman udara di khemah.

Mengenai banjir kilat semalam, Khalid ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama kakitangan Perbadanan Putrajaya berkata ia disebabkan oleh halangan dalam pengaliran air dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengatasinya hari ini.

Mengenai dakwaan oleh penduduk Jalan Abdullah, Bangsar bahawa pemaju hartanah SP Setia Bhd menceroboh kawasan kediaman mereka walaupun syarikat itu tidak memiliki tanah di Jalan Abdullah, Khalid berkata kementeriannya telahpun mengarahkan SP Setia untuk mengemukakan pelan pembangunan mereka.

SP Setia dilaporkan terlibat dalam pembangunan utama bercampur utama di Bukit Persekutuan, yang terletak berdekatan dengan Jalan Abdullah.

Menurut Khalid, tanah di Bukit Persekutuan telah diberikan sebagai “land-swap” apabila SP Setia membina kemudahan kesihatan di Setia Alam, Shah Alam dan sebagai gantian, diberikan tanah itu.

"Kementerian sedang menunggu pelan reka letak yang dikemukakan oleh SP Setia dan akan memastikan bahawa semasa memenuhi kewajipan untuk mematuhi perjanjian itu, ia juga perlu mengambil kira kebimbangan penduduk," kata beliau.

Sementara itu, Khalid berkata Kementerian Wilayah Persekutuan meluluskan peruntukan RM86,000 kepada tiga masjid, 14 surau Jumaat dan 53 surau di Putrajaya bagi menambahbaik kemudahan.

Sumbangan itu diserahkan mengikut kategori iaitu RM3,000 bagi masjid, RM2,000 untuk surau Jumaat dan RM1,000 bagi surau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS