Malaysiakini
BERITA

'Tak wajar 11 juta belia diwakili seorang anggota Dewan Negara'

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Mei 2019, 12:34 pagi

Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan menyambut baik pengumuman perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan persetujuan kerajaan untuk melantik seorang anggota Dewan Negara daripada kalangan belia.

Bagaimanapun ketuanya, Na'im Brundage berkata, pelantikan seorang Anggota Dewan Negara untuk mewakili keseluruhan warga belia di negara ini masih belum memadai.

"Tidak wajar sama sekali bagi lebih 11 juta warga belia berumur 15-35 tahun untuk diwakili oleh seorang Ahli Dewan Negara sahaja memandangkan jumlah keseluruhan Ahli Dewan Negara adalah 70 orang.

"Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan berharap pihak kerajaan akan dapat meneliti semula jumlah kuota yang akan disediakan untuk anak muda di dalam Dewan Negara memandangkan anak-anak muda di negara kita kebanyakannya masih terbelenggu dengan pelbagai isu dan masalah akibat sikap tidak ambil peduli kerajaan sebelum ini," katanya dalam kenyataan.

Semalam Dr Mahathir mengumumkan kerajaan bersetuju melantik seorang anggota Dewan Negara daripada kalangan belia berkelayakan yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang dan isu pembangunan belia.

Mahathir berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Belia Negara 2019 bertemakan 'Youth Power' di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Dalam ucapannya Mahathir turut mencadangkan supaya pelantikan itu dibuat dalam masa terdekat.

Menurut Na'im, AMK menggesa kerajaan melakukan lebih banyak inisiatif untuk memastikan penglibatan mencukupi daripada golongan anak muda dalam hal-ehwal pentadbiran negara.

"Penglibatan anak muda yang mencukupi dalam proses legislatif negara adalah salah satu kunci kepada penyelesaian pelbagai isu dan masalah yang kini dihadapi oleh mereka.

"Gesaan ini perlu diambil serius memandangkan populasi golongan belia berjumlah lebih daripada satu pertiga daripada jumlah keseluruhan populasi negara," tambahnya. 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.