Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO 'Who Is Hussain' buat laporan polis dakwa diugut
Diterbitkan:  May 16, 2019 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Kumpulan "Who Is Hussain" yang mendakwa sebagai sebuah pertubuhan amal antarabangsa membuat laporan polis selepas menerima pelbagai ugutan.

Wakil ketua kumpulan itu yang hanya ingin dikenali sebagai Natasha, memberitahu Malaysiakini ugutan itu dikirimkan kepada laman Facebook "Who Is Hussain - Malaysia".

Ancaman itu dibuat selepas sukarelawan NGO berkenaaan mengedarkan beratus-ratus risalah, tasbih, kurma dan minuman dalam kotak di sekitar KLCC pada Ahad lalu.

Keesokan harinya, laman Facebook itu dibanjiri mesej yang mengugut kumpulan berkenaan kerana mempromosikan ajaran Syiah.

Menurut Natasha, kumpulan itu hadir ke Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk memperjelaskan statusnya sebelum membuat laporan polis.

"Kami bertemu Jawi untuk mereka ambil keterangan kami, bagi menjelaskan keadaan.

"Kami juga hubungi mereka tahun lepas untuk bertemu, tapi mereka tak pernah datang kepada kami. Selepas bertemu Jawi, kami ke balai polis Dang Wangi untuk membuat laporan polis," katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu pemberita bahawa pihak polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama untuk mengekang  aktiviti penyebaran Syiah.

“Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan ‘Who Is Hussain’ yang menyebarkan risalah dipercayai ajaran Syiah di sekitar ibu negara.

Bagaimanapun, Natasha mendakwa kumpulan berkenaan telah disalah anggap berikutan satu artikel yang disiarkan laman web "Fakir ilmu".

"Terdapat salah tanggapan orang ramai terhadap artikel 'fakir ilmu'. Mereka mengatakan kami Syiah, kami bukan Muslim, kami mengacau, kami bunuh orang Islam di Syria .... tetapi kami bukan Syiah, " tambahnya.

Natasha berkata "Who Is Hussain" adalah pertubuhan kebajikan yang diasaskan di London pada tahun 2012.

"Setakat ini, kami mempunyai 70 lagi cawangan di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Ia bukan organisasi politik dan agama, yang berdedikasi untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.

"Kami menumpukan perhatian kepada isu gelangangan, kemiskinan, bantuan bencana alam, alam sekitar, kebersihan dan air serta kesaksamaan jantina dalam setiap masyarakat," katanya.

Walaupun ahli kumpulan terdiri daripada ramai penganut berbilang agama, ia dinamakan sempena Hussain ibn Ali, yang merupakan cucu Nabi Muhammad.

Kerana peranannya yang menonjol dalam Syiah, pengkritik mendakwa "Who Is Hussain" mempunyai matlamat untuk menyebarkan  fahaman itu di negara ini.

Lihat Komen
ADS