Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC Wilayah Persekutuan nafi bangunannya sedia dijual

MIC Wilayah Persekutuan menafikan laporan yang menyatakan bangunannya di Kompleks Damai, Kuala Lumpur sedia dijual dalam masa terdekat.

"Saya sebagai pengerusi MIC Wilayah Persekutuan menafikan laporan akhbar tersebut.

“Ia laporan berat sebelah dan mengelirukan,” kata Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan S Rajah.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat tawaran pembelian diterima dan terdapat pihak bersedia melepaskannya untuk mendapatkan bangunan baru di tempat yang lebih strategik.

Bangunan empat tingkat tersebut dibeli pada tahun 1978 bagi kegunaan badan perhubungan MIC Wilayah Persekutuan.

Akhbar Tamil Makkal Osai hari ini melaporkan MIC Wilayah Persekutuan masih mempunyai baki cukai tanah sebanyak RM70,000 dan bil elektrik hampir RM50,000 yang belum dijelaskan.

"Cadangan menjual bangunan tersebut belum dimuktamadkan. Ia masih dalam perbincangan. Ada pihak ingin beli bangunan tersebut dengan harga yang tinggi dan exco negeri menyambut baik cadangan tersebut.

“Itu saja," kata Rajah.

MIC ambil alih semua bangunan negeri

Rajah memberitahu bermula 1 Jun ini, MIC kebangsaan secara rasmi akan mengambil alih pengurusan kesemua bangunan milik MIC seluruh negara.

"Segala hutang, penyelenggaraan dan sebagainya akan diuruskan oleh MIC kebangsaan.

“Jadi, soal dijual oleh saya dan orang lain tidak wujud lagi," jelas beliau sambil menambah bahawa akhbar tersebut sepatutnya mendapatkan penjelasan beliau sebelum menyiarkan laporan tersebut.

Sementara itu, Rajah turut mengakui bangunan tersebut mempunyai tunggakan yang belum dibayar.

"Saya akui mempunyai tunggakan. Tetapi, tidak seperti dinyatakan oleh laporan tersebut. Kami mempunyai tunggakan cukai pintu yang belum dibayar.

“ Namun, katanya mereka telah pun mengadakan perjumpaan dengan pihak penguat kuasa dan berjanji segala tunggakan akan diselesaikan dalam masa terdekat secara berperingkat.

Lihat Komen
ADS