Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua kutipan Tabung Harapan diguna bayar hutang 1MDB
Diterbitkan:  May 16, 2019 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Kerajaan akan menggunakan sepenuhnya dana yang dikumpul dalam Tabung Harapan Malaysia (THM) untuk membayar sebahagian daripada hutang 1MDB.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata apabila kutipan THM ditutup ia mengumpul lebih RM203 juta.

"Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM pada 24 Apr 2019 bersetuju memutuskan bahawa kesemua dana dalam tabung itu akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM1,704.78 juta pada 2019 ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

THM ditubuhkan oleh kerajaan selepas PH menguasai Putrajaya melalui PRU ke-14 pada Mei tahun lalu.

Tabung berkenaan dibuka mulai 30 Mei 2018 bagi mengumpul sumbangan orang ramai untuk membayar beban hutang yang ditanggung daripada kerajaan terdahulu.

Pada 7 Feb lalu Kementerian Kewangan memaklumkan baki akhir THM sehingga 14 Januari ialah sebanyak RM202,716,775.10.

Kata Lim walaupun dana THM itu tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB yang berjumlah RM51 bilion, kerajaan tetap menghargai sumbangan yang dihulurkan rakyat negara ini.

"THM akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara," katanya.

Lim juga menambah hasil pelaburan daripada simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara membawa faedah sebanyak RM575,342.31.

"Ia menjadikan jumlah terakhir akaun amanah THM adalah berjumlah RM203,292,117.41," katanya.

Lihat Komen
ADS