Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemimpin PAS: 13 Mei bukan salah Melayu atau Cina tapi DAP

ULASAN | Tragedi 13 Mei 1969 telah membuka mata masyarakat mengenai peri pentingnya menjaga hubungan kaum dalam Malaysia. Sikap hormat-menghormati, bertolak-ansur, bertoleransi dan menjauhi sifat-sifat yang terkeji seperti berdengki, beriri hati dan menanam sifat curiga di antara kaum sangat penting di kalangan rakyat.

Dengan terdapat pelbagai jenis kaum, agama, budaya dan pegangan agama di Malaysia maka peristiwa 13 Mei 1969 ini berkemungkinan berulang sekiranya tiada kesedaran terhadap isu-isu sensitif yang timbul seperti hak kedudukan istimewa kaum Melayu yang merupakan penduduk asal bagi negara ini.

Oleh itu kaum-kaum lain yang tinggal di negara ini perlu menghormati kedudukan istimewa kaum Melayu dan mewujudkan suasana harmoni di kalangan masyarakat.

Tragedi 13 Mei bukan salah Melayu, bukan juga salah Cina. Salah kita jika mengatakan orang Cina punca tragedi kerana bukan Cina yang cetus 13 Mei. 

Hakikatnya, pencetus 13 Mei adalah DAP yang menunjukkan sikap sombong mereka dengan sedikit kuasa yang diberi oleh rakyat dalam pilihan raya.

Itulah hakikat sebenar sejarah 13 Mei yang tercatat di dalam laporan Mageran. Anak muda hari ini masih boleh membaca sejarah berkenaan. Sejarah yang masih diiktiraf kerajaan sehingga detik makalah ini ditulis.

Sentuh sensitiviti agama Islam

Cuma apa yang dirisaukan genap setahun kepimpinan kerajaan PH ini, terdapat usaha yang terang-terangan cuba menyentuh sensitiviti kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan negara Malaysia, hak keistimewaan kaum Melayu dan institusi raja.

Bermula dengan isu penghinaan Rasulullah S.A.W, isu ratifikasi Icerd, isu Statut Rom, isu layanan terhadap golongan LGBT, malah ada kenyataan dari pemimpin kerajaan PH sendiri terutama dari parti DAP yang jelas mempersoalkan kontrak sosial yang dipersetujui sejak merdeka.

Isu ini semakin panas apabila Sinar Harian menyiarkan kenyataan Mufti Perlis, Sahibul Samahah Dato Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang menggambarkan kerisauan beliau dan orang Melayu amnya terhadap kedudukan Islam dan Melayu di Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan PH ini.

Pendek kata dalam tempoh setahun kerajaan Malaysia Baru ini banyak perkara sensitif yang muncul dan sekiranya tidak dikawal atau diurus dengan baik, tragedi 50 tahun yang lepas boleh berulang kembali.

Justeru itu, Dewan Pemuda Pemuda PAS Negeri Perak ingin mengajak seluruh rakyat terutama kaum Melayu Islam agar terus bersatu demi ummah yang sejahtera dan juga mengingatkan kaum-kaum lain agar memahami semula dan menghormati kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita dahulu.


MOHD SHAHRIZAN AHMAD FUAT ialah Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS