Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU15: Umno sedia kembali berkuasa, kata Asyraf Wajdi
Diterbitkan:  May 16, 2019 4:20 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Umno dan PAS perlu bersedia setiap masa memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin diadakan secara mengejut pada bila-bila masa, kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah, katanya, tidak mustahil PRU15 diadakan seawal tahun depan.

“Sekiranya Dr Mahathir Mohamad rasa dia tak boleh tahan dengan tekanan bakal perdana menteri, mungkin dia akan bubar awal, jadi adakah kita bersedia,” katanya yang dipetik oleh Utusan Malaysia Online.

Asyraf Wajdi mengulas nasihat Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa parti itu untuk bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya PRU15.

Nasihat itu susulan spekulasi pemangku presiden Umno Mohamad Hasan yang pada ceramahnya, di Sandakan, baru-baru ini memberitahu bahawa Mahathir tidak akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan tampuk pemerintahan negara selepas dua tahun kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Mohamad sebaliknya mendakwa Mahathir akan membubarkan Parlimen supaya PRU15 dapat diadakan secara mengejut.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata kebangkitan Umno untuk berkuasa semula banyak bergantung kepada ahli-ahlinya, sama ada mereka bersedia menggunakan pendekatan baru atau kekal dengan cara lama.

Selain itu, katanya, pembangkang semakin kuat susulan penyatuan dua parti besar yang mewakili Islam iaitu Umno dan PAS yang kini sudah bekerjasama.

“Malah, Umno dan PAS sudah bersedia menandatangani Piagam Muafakat Nasional yang akan dilancarkan selepas perayaan Aidilfitri kelak dengan menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran antara kedua-dua parti itu.

“Kita di peringkat kepemimpinan sudah membuat satu ketetapan untuk tidak akan menoleh ke belakang lagi kerana apa yang dilakukan hari ini adalah harapan rakyat yang mahu dan ingin melihat Umno dan PAS bersatu,” katanya.

Lihat Komen
ADS