Remaja S'wak bunuh diri: Eksekutif Instagram sedih
Eksekutif Instagram menyatakan rasa terkejut dan sedih dengan berita seorang remaja yang membunuh diri di Sarawak selepas mendapat undian 69 peratus dalam akaun media sosial yang memilihnya mati.
BBC News melaporkan Ketua Produk Instagram, Vishal Shah pada 15 Mei (waktu tempatan) memaklumkan kepada parlimen United Kingdom (UK) sedang meneliti sekiranya produknya sepadan dengan jangkaan tujuannya dicipta, merujuk antaranya pelekat undian aplikasi media sosial itu.
"Berita ini tentunya amat mengejutkan dan sangat menyedihkan.
"Terdapat kes ... di mana tanggungjawab kami untuk menjaga komuniti kami agar selamat dan prihatin telah diuji dan kami sentiasa melihat dasar kami.
"Kami sedang meneliti dengan mendalam sekiranya produk-produk (Instagram), secara seimbangnya, sepadan dengan jangkaan tujuan kami menciptanya.
"Dan jika, dalam kes seperti pelekat undian, kami mendapati lebih banyak bukti di mana ia tidak sepadan dengan jangkaan ... kami ingin melihat sama ada kami perlu membuat sebahagian daripada perubahan dasar itu," katanya.
Ketagihan guna teknologi
Shah berkata demikian sebagai menjawab soalan Jawatankuasa Parlimen UK Mengenai Media, Budaya, Digital dan Sukan yang menjalankan siasatan terhadap masalah ketagihan dalam penggunaan teknologi.
Sementara itu, Ketua Dasar Awam Instagram, Karina Newton yang turut tampil memberi keterangan kepada anggota parlimen UK dipetik BBC News berkata undian itu mungkin boleh melanggar garis panduan syarikat itu.
Kata Newton, platform itu memiliki mekanisme untuk mengesan "idea yang memudaratkan diri" dan akan membuang hantaran tetentu di Instagram serta dalam masa yang sama menghulurkan sokongan pada keadaan yang mana perlu.
Misalnya, jelas eksekutif Instagram itu lagi, jika penguna mencari perkataan "bunuh diri", maka akan muncul (pop-up) pemberitahuan untuk menghubungi organisasi yang boleh membantu.
MP Damien Green yang mempengerusikan jawatankuasa parlimen UK itu selanjutnya bertanya kepada kedua eksekutif Instagram sekiranya terdapat perkakas khusus untuk mensasarkan iklan secara proaktif supaya dapat mengenal pasti orang yang berisiko memudaratkan dirinya sendiri dan menghulurkan sokongan kepada mereka.
Menjawab soalan itu, Newton berkata terdapat isu privasi untuk mempertimbangkan mengenai hal itu tetapi syarikat berkenaan akan melakukan lebih banyak lagi bagi menangani masalah tersebut.
Green juga menyoal jika Instagram mempertimbangkan untuk menggantung atau membatalkan akaun pengguna yang menggalakkan gadis tersebut mengambil nyawanya.
Bagaimanapun, kedua eksekutif itu enggan membuat spekulasi mengenai langkah-langkah yang diambil syarikat itu.
"Saya harap kami faham hal ini baru saja berlaku. Pasukan kami sedang meneliti apakah pelanggaran kandungannya," jelas Newton.
Baru-baru ini seorang remaja berusia 16 tahun terjatuh dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Batu Kawa, Kuching gara-gara undian dalam talian di akaun Instagram.
Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan, portal Suara Sarawak melaporkan remaja itu dipercayai membuat undian di akaun Instagram dengan memaparkan status: "Sangat penting, bantu saya pilih”.
Dia kemudian menyediakan dua pilihan iaitu D atau L yang masing-masing bermaksud "mati" atau "hidup".
Hasil undian yang dijalankan 69 peratus responden memilih D dan remaja terbabit kemudian mengambil keputusan untuk membunuh diri.

