'Rahsia' ibu tunggal beranak 3 berteduh dalam reban ayam
Masih ingat kisah seorang ibu tunggal yang terpaksa berteduh di bawah bumbung reban ayam di Pasir Puteh baru-baru ini?
Di sebalik kisah sedihnya, hari ini nama wanita terbabit disebut lagi, tapi untuk sebab yang mengecewakan.
Wanita berusia 32 tahun itu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada Selasa lalu selepas ujian air kencingnya positif dengan bahan terlarang.
Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad berkata melalui soal siasat yang dijalankan pihak berkuasa wanita terbabit mengakui mengambil dadah sejak empat tahun lalu.
Katanya, wanita itu mengaku menggunakan dadah pada setiap hari.
"Wanita itu ditahan mengikut Seksyen 31(1) Akta Dadah Berbahaya (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan dibawa ke pejabat AADK Pasir Puteh untuk tindakan lanjut," katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.
Malaysiakini pada 29 April lalu melaporkan seorang wanita menjalani hidup yang serba daif bersama tiga anaknya di Kampung Panggong Tiga, Bukit Abal.
Disebabkan masalah dialami mereka menjadikan reban ayam sebagai rumah.
Kata Rohayu liputan media terhadap kisah ibu tunggal itu mendorong ramai pihak tampil menyalurkan sumbangan.
Daripada sekian banyak orang yang tampil, katanya, AADK kemudian mendapat maklumat yang mengesyaki wanita itu sebenarnya terbabit dalam penagihan dadah.
"Justeru, AADK Kelantan membuat risikan khas dan pelbagai strategi dirangka sebelum wanita berkenaan ditahan di rumahnya," katanya.
Rohayu berkata, AADK turut berterima kasih kepada masyarakat setempat yang menyalurkan maklumat berkenaan ibu tunggal itu.
"Ketiga-tiga anak wanita berkenaan yang berusia tiga hingga tujuh tahun kini diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka sementara wanita berkenaan mendapatkan rawatan dan pemulihan," katanya.

