Lepaskan tembakan di kuil, polis kenalpasti 4 individu
Polis telah mengenal pasti empat individu yang melepaskan tembakan ke udara semasa satu upacara di sebuah kuil di Tanjong Karang Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata keempat-empat suspek berumur antara 30 hingga 67 tahun itu telah dikenal pasti dan akan ditahan dalam masa terdekat bagi siasatan lanjut.
"Senjata api yang digunakan dalam kejadian berkenaan turut telah dikenal pasti dan akan dirampas polis.
"Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu tular beberapa video memaparkan sekumpulan individu menggunakan sepucuk senapang patah melepaskan kira-kira 20 tembakan ke udara, semasa satu upacara di kuil berkenaan yang terletak di Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang.
- Bernama

