Lepas kritikan Mahathir, SPR kata sedia bincang
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia berbincang dengan Pakatan Harapan bagi mendapatkan pandangan berhubung larangan penggunaan aset kerajaan dan kempen ketika waktu pejabat pada pilihan raya.
Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata perkara itu bagi menambah baik proses perjalanan pilihan raya.
“SPR bersedia untuk berbincang dengan Pakatan Harapan dan mana-mana pihak lain untuk mendapatkan apa-apa pandangan dan maklum balas untuk menambah baik proses-proses perjalanan pilihan raya.
“Tindakan ini adalah selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak terutamanya pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya.
“Fokus utama SPR adalah untuk membentuk satu proses pilihan raya yang adil kepada semua pihak dan ia berjalan dengan telus dan berintegriti,” kata Azhar dalam kenyataannya, hari ini.
Azhar berkata demikian merujuk rasa tidak puas hati yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung langkah suruhajaya itu yang melarang anggota kabinet menjalankan aktiviti kempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya.
Menurut Mahathir, keputusan itu akan memberi kesan kepada pentadbiran PH selain seolah-olah memberi kelebihan kepada pembangkang yang tidak mempunyai kerja, untuk berkempen selama 24 jam.
Mahathir juga berkata ketika PRK Cameron Highlands tahun lalu beliau juga tidak dibenarkan menggunakan kemudahan kerajaan walaupun menjadi perdana menteri.
Susulan daripada itu, Bersih semalam mencadangkan agar menteri dan kakitangan awam yang menjadi pemimpin parti politik supaya mengambil cuti sekiranya ingin berkempen dalam apa juga pilihan raya ketika hari bekerja.
Azhar sebelum ini berkata menjadi kesalahan dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 sekiranya mana-mana pemimpin didapati menggunakan aset kerajaan untuk turun berkempen.
Sementara itu, Azhar berkata selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pihaknya telah mengambil pelbagai langkah untuk menambah baik proses pilihan raya serta sedang melihat secara menyeluruh reformasi yang boleh dilaksanakan.
Menurutnya, bagi melaksakan perkara itu, SPR telah melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi sosial, agensi-agensi kerajaan dan juga organisasi-organisasi antarabangsa.
“Adalah menjadi matlamat SPR agar semua penambahbaikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan nanti dapat menjamin pilihan raya yang telus, bersih dan adil.
“Dalam konteks tersebut, penambahbaikan terhadap proses-proses perjalanan pilihan raya yang tidak melibatkan pindaan undang-undang telah pun dilaksanakan, manakala yang melibatkan pindaan undang-undang pula, ia perlu kepada penelitian dan kajian lanjut oleh SPR,” katanya.

