Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sheikh Omar kecam orang bukan Islam dilabel anjing
Diterbitkan:  May 16, 2019 9:33 PM
Dikemaskini: 3:16 PM

Tindakan melabel orang bukan Islam yang masuk masjid sebagai anjing merupakan perbuatan dangkal, maklum Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Omar Ali.

"Saya tidak setuju dan mengecam perbuatan menggelar bukan Islam yang masuk ke dalam masjid sebagai anjing kerana sangat dangkal," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sheikh Omar yang juga anggota lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia mengulas suatu hantaran di media sosial yang mempertikaikan kehadiran Anggota Parlimen Labis, Pang Hok Liong di Masjid Tenang Stesen pada 10 Mei lalu.

Hantaran media sosial itu berjudul "Adun Tenang bawa masuk anjing dalam masjid?"

"Adoi apa nak jadi ni, apa kejadahnya bawa masuk apek ni dalam masjid? Dia nak bagi tazkirah ke? Atau ceramah agama?

"Kita yang Islam ni nak masuk masjid pun kena bersihkan badan, apek ni dah mandi wajib ke? Dah la tak sunat!

"Hello Pang Hok Liong, jangan ingat lu (kamu) Ahli Parlimen Labis (DAP) lu boleh berucap sesuka hati dalam masjid," kata hantaran itu.

Sultan Johor murka

Menurut Sheikh Omar pendekatan sebegini akan menimbulkan kekeliruan terhadap Islam, selain menyukarkan usaha dakwah kepada bukan Islam.

"Pendekatan (hantaran media sosial tersebut) pada hemat saya, akan menimbulkan kekeliruan imej Islam.

"Pada masa akan datang, saya muslim bawa seorang bukan muslim masuk masjid untuk berdakwah kepada dia, sebagai contohnya untuk tunjuk keindahan Islam.

"Kemudian orang non-muslim akan takut nak ikut saya, kerana dia akan katakan bukan Islam tidak dibenarkan masuk masjid kerana dia akan jadi anjing dan sebagainya," katanya lagi.

Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menyatakan rasa murka terhadap tindakan seorang ahli politik DAP yang dianggap mencabul kesucian Islam apabila berpolitik dalam masjid.

"Semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di Johor hendaklah segera dihentikan dan pencabulan yang telah berlaku tidak boleh berulang lagi," titah baginda.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama kenyataan tersebut diyakini merujuk kepada kehadiran MP Labis.

Pang dikhabarkan hadir ke masjid untuk menyampaikan sumbangan. 

Gambar Pang berucap kemudian menjadi tular dan dia didakwa memberi ucapan politik di situ.

Sementara itu Pang ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu dia tidak membangkitkan sebarang isu politik semasa berucap di majlis berkenaan.

Katanya dia datang ke situ hanya untuk menyerahkan bantuan kepada masjid dan surau dalam kawasan berkenaan sempena Ramadan.

Lihat Komen
ADS