Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas setahun prestasi BN cuma 'naik dan turun'

Setiausaha khas Anwar Ibrahim, R Suresh Kumar, menegaskan selepas setahun kerajaan baru memerintah Malaysia, penilaian tidak sepatutnya dihadkan kepada PH semata-mata.

Katanya kajian juga wajar dibuat ke atas BN yang menjadi pembangkang di peringkat pusat dan hampir di semua negeri sejak 9 Mei tahun lalu.

Menjelaskan pandangannya, Suresh berpendapat setakat ini prestasi BN adalah tidak menentu - naik dan turun.

Dia juga yakin pola sedemikian akan berlanjutan untuk beberapa tahun akan datang.

"Saya berpendapat antara prestasi terbaik BN ialah pemimpin-pemimpin mereka sering naik dan turun mahkamah.

"Dan saya percaya prestasi ini akan berterusan untuk beberapa tahun lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Suresh dia sebenarnya hairan kerana hampir semua media membuat kajian mengenai prestasi PH sebagai kerajaan yang genap setahun.

Harap Dr M, Anwar berkrisis

Namun, katanya, tiada siapa membuat sebarang analisis tentang prestasi BN sebagai pembangkang selepas 60 tahun menjadi kerajaan.

Menurut Suresh, beliau berkata demikian kerana setakat ini ramai pemimpin kanan BN - terutama Umno - didakwa atas pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan salah guna kuasa.

"Hampir setiap mereka mempunyai kes mahamah.

"Sekarang yang pergi mahkamah semua 'ikan-ikan besar'. Harap-harap pada masa depan kita boleh lihat lebih banyak 'ikan besar' didakwa, termasuk termasuk pemimpin daripada parti-parti gabungan BN," katanya.

Suresh memberitahu bahawa sebagai sebuah gabungan yang mempunyai pengalaman pentadbiran selama 60 tahun berbanding PH yang tidak pernah mengetuai kerajaan pusat, BN sepatutnya tampil ke depan dengan idea-idea bernas.

Ketika ini, katanya, pemimpin BN lebih menonjol dengan idea menyindir dan ia tidak menyumbang apa-apa kepada rakyat.

Sementara itu, Suresh turut menegaskan satu-satunya harapan BN untuk kembali berkuasa adalah dengan mengharapkan berlaku perpecahan di antara Dr Mahathir Mohamad dan bakal perdana menteri Anwar Ibrahim.

"BN macam tak ada modal dah untuk kembali menjadi kerajaan. Sebab mereka tahu permuafakatan dengan PAS juga tidak mampu membawa BN kembali menjadi kerajaan pada PRU ke-15," katanya.

Justeru menurut Suresh, Umno kini berharap sangat akan berlakunya krisis di antara Anwar dan Mahathir.

"Namun, kedua-dua pemimpin tersebut secara jelas memberi isyarat bahawa mereka sangat faham dengan politik murahan Umno dan PAS," katanya.

Suresh juga berkata secara umum masyarakat India masih bersama PH berdasarkan keputusan semua pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU ke-14 lalu.

Lihat Komen
ADS