Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) hari ini mempertahankan sekatan Orang Asli bagi menghalang kegiatan pembalakan di Kampung Cunex, Gerik, Perak.

Ketua Pengarah Jakoa Juli Edo berkata Orang Asli hanya mahu mempertahankan wilayah yang diwarisi sejak turun-temurun kerana “tidak mahu kehilangan ‘tanah air’, maruah dan harga diri”.

“Masyarakat kampung ini bertindak sedemikian atas landasan harga diri dan etnosejarah yang mengaitkan mereka sebagai keturunan langsung Orang Perak (Perak Man) yang berusia 13,000 tahun.

“Mereka tidak mahu kehilangan tanah pusaka yang diwarisi sejak beribu-ribu tahun yang lalu,” katanya.

Juli Edo 

Rangka Perak Man yang dijumpai di Gua Gunung Runtuh, Hulu Perak, membuktikan penempatan awal di kawasan itu sejak zaman batu Palaeolitik.

Juli berkata Orang Asli ingin mengekalkan ekosistem dan asas kehidupan sosial dan budaya mereka, merangkumi pandangan semesta, sistem nilai, keagamaan, ekonomi dan kepimpinan.

Bukan 'cuci mangkuk' - MB

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan tindakan penguatkuasaan merobohkan sekatan yang dibina pagi semalam.

Sekatan itu, menurut menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu, dibuat tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan negeri.

Faizal Azumu

Kerajaan negeri juga menafikan aktiviti pembalakan di kawasan itu dijalankan secara ”cuci mangkuk”.

Selain itu, katanya, semua aktiviti pembalakan yang diluluskan dijalankan secara lestari dan hanya pokok yang mengikut piawaian dibenarkan ditebang melalui kaedah tagging.

Kerajaan negeri juga, katanya, konsisten memastikan urusan pembalakan tidak melebihi Catuan Pembalakan Tahunan iaitu 7,744 hektar setiap tahun, sesuai dengan kehendak Majlis Tanah Negara.

Dalam kenyataan hari ini, Jakoa berkata mereka amat sedar “undang-undang sentiasa di pihak kerajaan”.

Bagaimanapun, kata Juli, mereka berharap Orang Asli tidak teraniaya dan terpinggir sehingga menjadikan mereka gelandangan di tanah air sendiri.