Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Meski PH beri Isma ruang, Islam tetap terancam - Aminuddin

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mempertahankan kenyataannya Islam tetap terancam di bawah PH meski pun pentadbiran baru memberikan ruang kepada pertubuhan itu untuk menganjurkan program dengan kerjasama agensi kerajaan.

Presiden Isma Aminuddin Yahaya berkata Islam terancam dalam konteks perlembagaan namun aktiviti keagamaan tetap berjalan seperti biasa.

“(Islam) tetap tergugat, kerjasama ini (dengan Jais) bukan bermakna Islam tak tergugat tapi tergugat dalam konteks Islam yang lebih luas daripada itu.

“Islam tergugat bukan dari segi aktiviti (kerohanian) tapi perlembagaan. Aktiviti-aktiviti (kerohanian) berjalan sejak 60 tahun sejak Merdeka, jadi kita nampak dalam konteks yang lebih besar, lebih mengikat.

“Dengan bukti-bukti yang saya beri, dengan isu (pelantikan) peguam negara, isu Icerd jadi Islam tergugat dalam bentuk luas bukan terpencil,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Surat jemputan tular

Sebelum ini, Aminuddin memberikan markah kosong peratus terhadap PH berkaitan pemerkasaan Islam selepas gabungan itu mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Pada 4 Mei lalu, Isma melalui Gerakan Pembela Ummah turut sama menganjurkan himpunan "mempertahankan kedaulatan Islam" di ibu negara kerana mendakwa Islam terancam di bawah pentadbiran PH.

Perhimpunan itu turut melibatkan pemimpin pembangkang, PAS dan Umno. 

Semalam Malaysiakini melaporkan berkaitan penularan surat jemputan Isma ke Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Wanita Se-Malaysia anjuran Biro Wanita Isma Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Surat bertarikh 15 Mei itu turut menggunakan logo dan kepala surat jabatan agama Islam itu dan ditandatangani oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jais, Anas Ayob.

Isma turut menjangkakan kehadiran lebih 400 orang dalam program berkenaan.

Lihat Komen
ADS