Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isma anjur program dengan kerjasama agensi k'jaan PH
Diterbitkan:  May 16, 2019 8:45 PM
Dikemaskini: May 17, 2019 8:26 AM

Di sebalik dakwaan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) bahawa Islam terancam selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kini timbul pula surat jemputan NGO itu menganjurkan program dengan kerjasama agensi kerajaan.

Berdasarkan surat yang tular di media sosial hari ini, Isma menganjurkan Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Wanita Semalaysia anjuran Biro Wanita Isma Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Surat bertarikh 15 Mei itu turut menggunakan logo dan kepala surat jabatan agama Islam itu dan ditandatangani oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jais, Anas Ayob.

Majlis tersebut dijangka berlangsung pada 25 Mei ini di Masjid Jamek Raja Uda, Seksyen 15 Shah Alam.

Menurut Penolong Setiausaha Wanita Isma Shah Alam Nor Raihan Izzati Che Zahir pihaknya telah menghantar surat permohonan tersebut minggu lalu kepada agensi berkenaan.

“Surat itu betul, kerjasama Jais. Jais tak ada halangan. Setakat ini tak ada bantahan sebab program khatam al-Quran dan tadarus kan,” katanya kepada Malaysiakini.

Majlis Tadarus al-Quran ini, jelas Nor Raihan julung-julung kali diadakan dengan kerjasama Jais.

“Untuk program ini baru pertama kali tapi kalau program-program lain kita pernah buat dengan Jais,” katanya.

Menurutnya lagi, Isma mendapat maklum balas yang sangat baik dari peserta dan turut menjangkakan kehadiran lebih 400 orang dalam prgram berkenaan.

Sementara itu Pengarah Jais, Haris Kasim ketika diminta mengulas lanjut berhubung perkara tersebut berkata beliau sedang mendapatkan maklum balas daripada pegawai yang mengesahkan surat tersebut.

“Tunggu saya semak dengan pegawai dulu… Saya sudah tanya tapi dia belum jawab lagi,” katanya.

Sebelum ini Presiden Isma Aminuddin Yahaya memberikan markah kosong peratus terhadap PH berkaitan pemerkasaan Islam selepas gabungan itu mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Isma melalui Gerakan Pembela Ummah juga merupakan penganjur himpunan "mempertahankan kedaulatan Islam" di ibu negara baru-baru ini yang turut melibatkan pemimpin pembangkang, PAS dan Umno.

Lihat Komen
ADS