Bekas anggota sekretariat Bersih Mandeep Singh dilantik menjadi pegawai tugas-tugas khas Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo sejak Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, rancangannya mengiringi menteri dalam lawatan kerjanya ke Bintulu hari ini sedikit terganggu apabila anggota Jabatan Imigresen di lapangan terbang memberitahu perintah larangan yang dikeluarkan kerajaan Sarawak terhadapnya sejak zaman aktivisnya masih berkuatkuasa.

"Mereka kata saya 'disenarai hitam' sejak 2016...

"Jadi ini bukan Malaysia Baru. Tiada semangat Malaysia baru di Sarawak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, pada waktu itu, Gobind yang dijadualkan membuat lawatan kerja selama dua hari ke Bintulu, melepasi pemeriksaan imigresen tanpa sebarang halangan dan sedang menunggunya.

Mereka berdua tiba di lapangan terbang Bintulu sekitar jam 6 petang.

Katanya, dia menunggu di pejabat Jabatan Imigresen lapangan terbang selama lebih setengah jam bagi mendapatkan keputusan muktamad sama ada dia dibenarkan masuk atau dihantar pulang ke Semenanjung Malaysia.

Akhirnya, Mandeep berkata dia diberikan pas khas yang membolehkannya masuk ke negeri itu selama tiga hari.

Menurutnya lagi, dia diberitahu supaya memaklumkan kerajaan Sarawak terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan ke negeri ini.

Ketika menganggotai sekretariat Bersih, Mandeep dihalang masuk ke Sarawak pada 15 Februari 2016.

Beliau berkata pada masa itu notis larangan masuk terhadapnya dikeluarkan pada 28 Januari 2016 walaupun dia telah berjaya memasuki negeri itu menggunakan pasportnya pada 13 Februari tahun yang sama tanpa sebarang masalah.

[Baca berita penuh]