Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Wanita itu telefon saya berpuluh kali sehari'
Diterbitkan:  May 18, 2019 1:10 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Anggota Parlimen Sungai Siput, S Kesavan tampil menafikan tuduhan melakukan gangguan seksual terhadap bekas pembantunya.

Pemimpin PKR Perak itu berkata, laporan polis yang dibuat oleh wanita berkenaan terhadapnya adalah berniat jahat dan cuba menjatuhkan reputasinya.

"Saya sedia maklum satu laporan polis berniat jahat yang telah dibuat terhadap saya oleh seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai penyelidikan parlimen saya," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Kesavan mendakwa wanita itu menghubunginya pada 2017 dan menyatakan hasrat membantu kempennya menghalang pengundi hantu di kawasan DUN Hutan Melintang.

"Pertama kali saya dihubungi oleh wanita tersebut ialah sekitar tahun 2017, semasa saya mengendalikan kempen membantah pemindahan pengundi-pengundi hantu ke kawasan Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang.

"Pada ketika itu, saya adalah Adun Hutan Melintang. Saya dihubungi oleh wanita ini yang pada ketika itu memaklumkan mahu membantu kempen saya...

"Saya menerima tawaran bantuan itu dengan terbuka kerana dia mahu menjadi seorang sukarelawan yang mahu membantu kempen saya, seperti juga ramai sukarelawan parti yang lain," katanya lagi.

Ugut dedah rakaman

Bagaimanapun, jelas Kesavan lagi, hubungan baik antara mereka mencetuskan masalah apabila wanita berkenaan didakwa sering menelefonnya berpuluh kali sehari selain cuba menganggu rumah tangganya.

"Lama-kelamaan, kekerapan dia menelefon saya semakin bertambah sehingga berpuluh kali sehari. 

"Jika saya tidak menjawab, dia mula marah. Apabila saya menjawab, ada kalanya perbualan melebihi lebih satu jam setiap kali.

"Menjelang September 2018, saya mula menjadi kurang selesa dengan kelakuan wanita ini yang mula berubah dari seorang yang mengaku mahu menjadi kawan, kepada seorang yang mula mempunyai perasaan terhadap saya," katanya.

Selanjutnya, Kesavan mendakwa keadaan menjadi bertambah rumit apabila wanita itu mula campur tangan dalam operasi pejabat khidmat anggota parlimen di Sungai Siput.

"Keadaan menjadi lebih rumit apabila dia mula campur tangan dengan perjalanan pusat khidmat saya di Sungai Siput. Dia mahu saya memecat pembantu tertentu dan marah apabila saya enggan memecat.

"Dia juga mengugut untuk mendedahkan rakaman yang dia kata akan memalukan saya. 

"Dia juga pernah mengucapkan agar saya 'pergi mati'," kata Kesavan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang anggota parlimen PKR dan wanita berkenaan yang juga bekas bendahari cabang parti itu saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

Dalam laporan polis itu, wanita berkenaan mendakwa menerima gangguan seksual daripada anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember tahun lalu, manakala Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.

Menurut sumber parti, bekas bendahari itu yang juga seorang peguam dari Puchong membuat laporan polis pada 16 Mei lalu mendakwa dia menerima gangguan seksual setelah bekerja dengan ahli parlimen itu selepas pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018.

“Lelaki itu menghantar teks 'I love you sayang'...

"Malah, dia buat pula panggilan video dan menunjukkan buku Kamasutra," kata wanita itu merujuk buku kuno India yang menceritakan mengenai seksualiti dan erotika.

Kesavan (tengah) dan Rafizi (kanan) pada 2017.

Dalam pada itu S Kesavan juga berkata telah memaklumkan mengenai dakwaan gangguan wanita berkenaan terhadap dirinya kepada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Dakwanya, Rafizi meminta supaya beliau membuat satu laporan polis dan katanya, laporan polis telah dibuat pada awal bulan Mei lalu.

"Saya akan memberi keterangan kepada pihak berkuasa dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang bakal dijalankan, termasuklah menyerahkan bukti-bukti yang menunjukkan gangguan dan ugutan yang dibuat untuk merosakkan rumahtangga saya.

"Saya juga telah menyerahkan perkara ini kepada peguam-peguam untuk diambil tindakan undang-undang yang selanjutnya, untuk membersihkan nama saya dan isteri saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi Bernama malam tadi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada bekas pembantu MP itu yang dibuat di Selangor.

"Saya sahkan yang polis terima laporan berhubung kes ini dan siasatan lanjut masih dilakukan," katanya.

Lihat Komen
ADS