Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilik ECRL nafi guna pelobi lantik kontraktor tempatan
Diterbitkan:  May 19, 2019 11:17 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Constructions Company (CCCC) menafikan dakwaan bahawa kerja-kerja sivil bagi projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan diberikan melalui tawaran secara terus.

Dalam satu kenyataan bersama, MRL selaku pemilik projek dan CCCC sebagai kontraktor utama berkata dakwaan itu yang telah tersebar di media sosial adalah tidak benar.

"Tiada kontrak untuk kerja-kerja sivil ECRL akan diberikan melalui tawaran secara terus. Tuntutan oleh mana-mana pihak yang menyatakan bahawa mereka telah dijanjikan kontrak sebagai kontraktor utama projek ECRL secara tawaran terus adalah tidak benar," jelasnya.

Kenyataan itu menegaskan tiada ejen atau pelobi yang telah dilantik untuk memudahkan proses pra-kelayakan kontraktor tempatan sebagai penender-penender berpontensi bagi pakej kerja sivil ECRL di dalam penyertaan 40 peratus kontraktor tempatan.

"Seperti yang telah diumumkan baru-baru ini, MRL dan CCCC kini sedang menjalankan program Pra-Kelayakan (Pra-Q) ECRL yang bertujuan untuk memberi peluang kepada semua kontraktor dari Gred G3 hingga G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan penarafan minimum 2 Bintang untuk mendaftar dan akan disaring untuk disenaraikan sebagai penender berpotensi bagi kerja-kerja awam ECRL.

"Selain itu, CCCC juga telah mengiklankan program Pra-Q ECRL di akhbar-akhbar tempatan pada 13 dan 14 Mei 2019.

"Oleh itu, semua syarikat pembinaan dan kontraktor tempatan yang berkelayakan dan berminat untuk disenaraikan sebagai penender yang berpotensi untuk proses tender pakej kerja awam ECRL adalah digalakkan menyertai program Pra-Q dan mengemukakan permohonan mereka secara langsung di kaunter CCCC di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 29 dan 30 Mei 2019," jelasnya.

Kenyataan itu menjelaskan mereka komited untuk memastikan amalan tadbir urus dan etika kerja yang baik dipraktikkan dalam program Pra-Q dan penilaian kontraktor tempatan.

Ini katanya untuk memastikan hanya yang betul-betul layak disenaraikan untuk proses seterusnya sebagai penender berpotensi.

"MRLSB dan CCCC bersepakat untuk mematuhi piawaian akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi bagi tujuan memastikan projek ECRL menjadi penanda aras amalan integriti dan tadbir urus yang baik.

"Oleh itu, kami ingin mendesak semua kontraktor untuk mengabaikan apa-apa mesej yang mendakwa mereka menerima apa-apa tawaran secara terus untuk projek ECRL serta mana- mana "pelobi" yang mendakwa bahawa mereka boleh membantu kontraktor mendapatkan status "terpilih" untuk projek-projek ECRL," jelasnya.

 

Lihat Komen
ADS