Lelaki ditahan bersama mercun, bunga api bernilai RM70,000
Polis menahan seorang lelaki dan merampas 36 kotak mercun serta bunga api pelbagai jenis bernilai RM70,000 di kawasan pendaratan bot nelayan di Tasik Ah Ning, Padang Sanai dekat Padang Terap semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Noh Idris berkata rampasan itu dilakukan berikutan penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda warna hitam yang sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan di tebing tasik berkenaan pada 11 pagi.
"Sepasukan sembilan anggota yang menjalankan tugas rondaan di tasik yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand tersebut telah terserempak dengan kenderaan itu dan sebaik menghampirinya terdapat seorang lelaki berada di tempat duduk pemandu.
"Lelaki tempatan berusia 36 tahun itu kita tahan untuk pemeriksaan sebelum menemui 20 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dalam kenderaan tersebut.
"Tidak cukup dengan itu, suspek menunjukkan longgokan 16 kotak mercun dan bunga api di atas tanah yang terletak kira-kira tiga meter dari belakang kenderaan itu yang dipercayai untuk diseludup bagi pasaran tempatan menjelang Syawal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noh berkata ketika soal siasat suspek mengaku mercun dan bunga api berkenaan diseludup dari negara jiran dengan menggunakan bot sebagai taktik terbaru penyudup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Selain itu, penyeludup turut mewujudkan laluan darat bagi membolehkan kenderaan menghampiri tebing tasik dan memudahkan kegiatan mengangkut bahan terlarang ke dalam kenderaan," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata suspek ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.
-Bernama

