Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kes saman dikemukakan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung tuntutan royalti minyak sembilan tahun lepas, akhirnya selesai selepas Kerajaan Negeri menarik balik saman itu pada 13 Mei lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili Kerajaan Negeri kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache hari ini, dengan dihadiri Peguam Persekutuan Siti Asmath Che Man, bertindak bagi Kerajaan Persekutuan, yang juga defendan dalam kes saman berkenaan.

Aleeya Elyana berkata, Kerajaan Negeri telah memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman terhadap Petronas pada 13 Mei lepas, namun pihaknya tidak menerima apa-apa arahan berhubung saman ke atas Kerajaan Persekutuan.

"Mahkamah menetapkan 21 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya (bagi kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan)" katanya.

Pada 2 Julai 2014, Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes saman itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan diselesaikan melalui hujahan berkaitan isu undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Kaedah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Dalam keputusan itu, panel lima hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta dalam kes itu yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April 2012, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kes saman sivil itu ditentukan menerusi isu undang-undang.

Bagaimanapun, pendengaran berhubung isu undang-undang di Mahkamah Tinggi belum lagi didengar.

Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Negeri selaku plaintif memfailkan saman terhadap Petronas sebagai defendan tunggal. Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Kerajaan Negeri menuntut syarikat minyak itu membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa hadapan bagi hasil minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai Kelantan, seperti yang termaktub dalam perjanjian carigali petroleum.

Kerajaan Negeri itu turut menuntut bayaran ganti rugi dengan kos. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan jumlah spesifik tuntutan terhadap Petronas.

Dalam saman itu, Kerajaan Negeri itu menyebut bahawa dalam Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975, ia jelas tertera Petronas harus membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau di pesisir pantai.

Dakwanya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat dua kali setahun, pada atau sebelum 1 Mac dan satu lagi sebelum 1 Sept.

Pada 7 Mac lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat selesai.

- Bernama

Lihat Komen
ADS