Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Kelantan telah menarik balik saman royalti minyaknya yang panjang terhadap syarikat minyak negara Petronas.

Peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang bertindak bagi pihak kerajaan negeri pimpinan PAS mengesahkan hal ini kepada Malaysiakini.

Menurut Aleeya perkara itu berlaku ketika pengurusan kes Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan berkaitan Petronas.

Berdasarkan ecourtservices.kehakiman.gov.my/CauseList, rayuan interlokutori daripada Petroliam Nasional Bhd dalam saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes melalui e-Review, yang mana pihak-pihak yang terlibat tidak perlu bertemu secara fizikal tetapi sebaliknya mengendalikan hal itu secara dalam talian.

"Kerajaan Kelantan telah menarik balik saman royalti (royalti minyak) terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur).

"Petronas pula akan menarik balik rayuan (saman) terhadap (kerajaan negeri) Kelantan di Mahkamah Persekutuan.

Lunas janji royalti

"Mengenai (saman) kerajaan Kelantan terhadap Petronas, ia (penarikan balik) telah berkuat kuasa di mahkamah tinggi," katanya.

Aleeya menjelaskan lanjut bahawa kerajaan Kelantan hanya mengeluarkan saman royalti minyak terhadap Petronas, bukan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata defendan kedua, kerajaan persekutuan, yang telah berjaya campur tangan dalam perkara itu sebelum ini, adalah defendan yang masih dalam saman itu.

Ditanya sekiranya kerajaan Kelantan akan mengeluarkan tuntutan terhadap kerajaan persekutuan kemudian, beliau berkata tidak ada arahan lanjut dari kerajaan negeri setakat ini.

"Bagaimanapun, kita juga menunggu tindak balas daripada kerajaan persekutuan," katanya ketika ditekan kemungkinan kemungkinan kerajaan negeri akhirnya akan menafikan tuntutan terhadap kerajaan persekutuan.

Ketika ditanya butiran lanjut mengenai perkara itu, Aleeya enggan mendedahkannya dan memberi jaminan maklumat lanjut akan dibentangkan apabila perkara berkenaan dibawa untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa depan (21 Mei).

Pada 7 Mac, dilaporkan bahawa kerajaan persekutuan akan membayar royalti minyak ke Kelantan selepas penarikan tuntutan saman kerajaan negeri terhadap pusat dan Petronas selesai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri telah memulakan prosiding penarikan balik saman yang dijangka akan diselesaikan tidak lama lagi.

"Selepas semua prosiding tersebut selesai, kita akan lunaskan apa yang telah kita janjikan dengan membuat pembayaran terus kepada kerajaan negeri," katanya.

Azmin berkata kerajaan telah melunaskan semua bayaran royalti bagi tahun 2018 kepada Terengganu manakala Kelantan hanya menerima sebahagian bayaran pada tahun lepas berikutan pertikaian berhubung saman berkenaan belum selesai.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakub pada 14 Januari lepas memperbaharui permohonan tuntutan royalti petroleum dengan Kerajaan Persekutuan menerusi pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti di Mahkamah Tinggi pada 2011 dan pada Oktober tahun lalu kerajaan negeri menarik balik saman tersebut.

Malaysiakini sedang menghubungi peguam daripada firma yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Messrs Cecil Abraham & Partners, yang mewakili Petronas dalam kes saman royalti minyak ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS