Kem Kewangan tuntut RM250j dari NFCorp
Kementerian Kewangan (MOF) menuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta dan faedah serta caj faedah lewat yang diberikan kerajaan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) pada 2008.
Menterinya, Lim Guan Eng, berkata tuntutan mahkamah terhadap syarikat itu akan dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara.
Katanya ketika ini NFCorp masih berhutang RM253.6 juta kepada kerajaan.
Menurut Lim Notis Pengisytiharan Keingkaran yang selaras dengan Klausa 14 Perjanjian Pinjaman di antara kerajaan persekutuan dan NFCorp dikeluarkan pada Sept 2014.
Katanya perkara itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan lanjut.
“Jabatan Peguam Negara sedang meneliti perkara itu dan akan mengumumkan perkembangan terkini jika ada,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
MOF menekankan bahawa NFCorp menerima kemudahan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan pada 9 Jan 2008 dengan kadar faedah 2 peratus serta tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh selama tiga tahun.
Pinjaman itu dijamin debentur yang ditandatangani bersama dalam perjanjian pinjaman pada 6 Dis 2007.
“Berdasarkan penyata lengkap pinjaman kerajaan Persekutuan sehingga 30 Apr 2019 dari Jabatan Akauntan Negara, jumlah baki pinjaman (terhutang) oleh NFCorp kepada kerajaan adalah sebanyak RM253.62 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat sehingga 30 Apr 2019.
“Daripada jumlah tersebut, RM110.84 juta adalah jumlah terhutang untuk pembayaran balik kepada kerajaan Persekutuan dari 30 Apr 2019, terdiri daripada tunggakan pinjaman pokok RM81.99 juta, faedah pinjaman RM22.97 juta dan caj faedah lewat berjumlah RM5.89 juta,” kata Lim.
- Bernama

