Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Apa motif Kelantan FM galak siar Anak Kecil Main Api?'

Tindakan stesen radio Kelantan FM kerap menyiarkan lagu Anak Kecil Main Api sejak PH menguasai Putrajaya wajar menimbulkan tanda tanya, kata Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan.

Menurut Hazmi walaupun penyiaran lagu-lagu patriotik memang wajar disiarkan stesen radio dan TV milik kerajaan namun langkah itu wajar dibuat mengikut kesesuaian.

Katanya lagu Anak Kecil Main Api memang sejak sekian lama difahami dihasilkan untuk mengapi-apikan semangat kemelayuan yang boleh dianggap melampau.

"Apa motif Kelantan FM siar lagu Anak Kecil Main Api dengan kerap?

"Apakah sudah tidak ada lagu patriotik lain yang bebas daripada agenda politik perkauman boleh disiarkan oleh stesen berkenaan?" katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Justeru, katanya, Pemuda Amanah Kelantan mencadangkan lagu seperti Setia, Jalur Gemilang dan seumpamanya diperbanyakkan siarannya oleh Kelantan FM.

Menurut Hazmi lagi Kementerian Penerangan sepatutnya memiliki koleksi lagu patriotik yang kaya dengan semangat perpaduan serta kebersamaan.

Dalam keadaan begitu, katanya, menghairankan apabila Kelantan FM memilih untuk menyiarkan lagu yang tebal dengan agenda politik Umno untuk mengisi siaran mereka.

"Kenapa Kelantan FM memilih untuk menyiarkan lagu yang menggambarkan seolah-olah Malaysia ini sudah tidak selamat untuk Melayu?" katanya.

Galakkan harmoni, bukan ganggu

Hazmi berkata, lebih aneh apabila lagu tersebut disiarkan dengan lebih kerap sejak selepas PRU14.

Katanya, ada pihak memberitahu lagu tersebut akan dimainkan setiap hari.

"Kita harap RTM hentikan segera kerja-kerja mengadu-domba sebegini.

"Sebagai jentera kerajaan RTM sepatutnya menjadi agensi yang menggalakkan keharmonian rakyat," katanya.

Sementara itu Malaysiakini diberitahu sumber yang dekat dengan RTM Kelantan, lagu Anak Kecil Main Api memang salah satu lagu patriotik ditetapkan untuk disiarkan selepas segmen berita.

Malaysiakini sedang mendapatkan respon lanjut daripada pengarah RTM Kelantan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung perkara tersebut.

Sementara itu Pengarah RTM Kelantan, Shukri Mohamad, ketika dihubungi menafikan lagu tersebut disiarkan terlalu kerap oleh Kelantan FM.

Malah katanya, Kelantan FM, menyifatkan lagu tersebut sebagai lagu patriotik dan tidak mempunyai sebarang motif politik.

"Tidaklah terlalu kerap, ada sesekali (disiarkan) bergantung kepada selera juruhebah bertugas," katanya.

Menurut Shukri lagi Anak Kecil Main Api tidak disenaraikan sebagai lagu haram dan pada masa sama RTM Kelantan tidak mendapat arahan khusus daripada pihak pengurusan baru untuk tidak menyiarkannya.

"Lagu ini juga diluluskan oleh panel kami untuk siarannya," katanya merujuk kepada panel yang menentukan lagu apa boleh atau tidak boleh disiarkan.

Lihat Komen
ADS