Mahkamah dengar kes kena buang kerja di kedutaan AS lepas 11 tahun
Selepas 11 tahun, Mahkamah Perusahaan akan mendengar kes seorang lelaki yang mendakwa telah diberhentikan secara tidak sah daripada pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang membantu Subramaniam Letchimanan dalam kesnya sejak 2008, berkata bekas pengawal keselamatan itu cuba membawa tuntutannya melalui jabatan kerajaan, kemententerian dan saluran undang-undang yang relevan tetapi menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, selepas menulis kepada Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran 12 Julai 2018, PSM berkata suatu mesyuarat rundingan damai telah diadakan pada September tahun lalu dan akhirnya pada April tahun ini, Subramaniam menerima sepucuk surat memaklumkan kesnya akan didengar Mahkamah Perusahaan pada 24 Mei 2019.
"Setelah bekerja selama 20 tahun dan dipecat dalam tempoh 24 jam, serta selepas menunggu 11 tahun untuk kes ini, maka diharapkan semoga keadilan akhirnya akan ditegakkan," kata Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan pada suatu kenyataan hari ini.
Katanya, Subramaniam hanya diberitahu mengenai penamatan khidmatnya selepas menerima panggilan telefon dari penyelianya pada 4 April 2008 memberitahu dia telah diberhentikan kerja dengan serta-merta.
Melawan kuasa besar dunia
Menurut Arutchelvan sebulan selepas khidmatnya ditamatkan, Subramaniam membuat laporan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawak Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan kerana dibuang kerja secara tidak sah.
"Dalam keadaan biasa, Jabatan Perhubungan Perusahaan akan mengadakan mesyuarat rundingan damai dalam masa tiga minggu tetapi di sini ia tidak berlaku kerana dia melawan kedutaan AS - kuasa besar dunia," kata Arutchelvan.
Selain Mahkamah Perusahaan, Arutlchelvan berkata sepanjang 11 tahun lalu, pihaknya telah mencuba saluran Kementerian Luar, Kementerian Sumber Manusia serta pihak Kedutaan AS sendiri.
"Selepas 11 tahun, akhirnya kes ini dirujuk menteri.
"Kes akan didengar esok pada jam 8.30 pagi, 24 Mei, 2019 di Mahkamah Perusahaan di Bangunan Socso, Jalan Tun Razak," maklum pemimpin PSM itu lagi.

