Rayer ajak Najib debat di parlimen
Selepas penasihat DAP Lim Kit Siang membatalkan hasrat berdebat dengan Najib Razak, seorang anggota parlimen parti itu pula mencabar bekas perdana menteri itu untuk berdebat.
Tidak menetapkan sebarang topik berbahas, anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer bagaimanapun mencabar Najib berdebat dengannya di Parlimen.
Menurut Rayer, cabaran itu dilakukan kerana beliau merasakan anggota Parlimen Pekan tersebut enggan berdebat dengan sesiapa pun di Dewan Rakyat.
“Katanya dia tidak mahu diganggu.
“Najib boleh berdebat dengan saya tentang apa-apa sahaja.
“Saya bersedia mencabar Najib di Parlimen jika dia sedia berdebat dengan saya di situ,” katanya lapor Free Malaysia Today.
Katanya, Najib melepaskan banyak peluang berdebat sebelum PRU14 berlangsung, seperti forum “Nothing To Hide” yang sepatutnya digandingkan bersama Dr Mahathir Mohamad.
Semalam, Lim memutuskan tidak akan meneruskan debatnya dengan Najib, yang dijangka diadakan selepas aidilftiri itu, kerana bimbang dengan kemungkinan besar ia akan dimanipulasi menjadi satu konflik perkauman.
Katanya, beliau menerima segunung surat dan nasihat yang memintanya supaya tidak meneruskan debat itu.
Bagaimanapun, beberapa minit selepas Lim mengeluarkan kenyataan media mengumumkan pengundurannya itu, Najib dalam hantaran Facebook beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan terdapat kebimbangan di kalangan PH dan DAP bahawa Lim mungkin dikalahkan.

