Umat Islam tiada alasan lagi untuk tidak pandai membaca al-Quran, menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Dewasa ini bagai tiada alasan untuk memaafkan orang yang buta al-Quran.

“Banyak kaedah dicipta dan kelas-kelas pengajian diwujudkan untuk memberi bantuan kepada mereka supaya dapat mengatasi kelemahan tersebut,” menurut mimbar.

Selain itu, mimbar turut mengingatkan supaya tidak mengambil sikap acuh tak acuh dalam membaca al-Quran.

“Walaupun telah banyak ketinggalan namun kita hendaklah terus berusaha untuk mengatasinya,” kata mimbar.

Mimbar juga berkata pengajian al-Quran wajar mengikut hukum bacaannya yang betul.

“Adalah sangat wajar diambil perhatian bahawa al-Quran mesti dibaca dengan tartil dan menjaga makhraj huruf serta hukum bacaannya dengan betul.

“Setiap kita mesti berusaha untuk memahami ayat yang dibaca supaya kita dapat menikmati hidayah Allah Taala dan seterusnya melaksanakan segala perintah yang terkandung di dalamnya,” kata mimbar lagi.