RON97 naik 8 sen, RON95 dan diesel kekal
Harga petrol RON97 naik sebanyak 8 sen mulai jam 12 tengah malam ini menjadikan bahan api itu kini berharga RM2.76 seliter, berbanding RM2.68 seliter minggu lalu.
Harga RON95 dan diesel pula kekal tidak berubah dari minggu lepas, masing-masing pada harga RM2.08 dan RM2.18 seliter.
"Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.46 seliter dan RM2.52 seliter masing-masing.
"Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.
Harga baru ini berkuat kuasa dari 25 Mei sehingga 31 Mei.
Menurut Kementerian Kewangan lagi, subsidi yang perlu ditanggung bagi tempoh itu dianggarkan berjumlah RM126.52 juta.
Kerajaan sebelum ini mengembalikan semula mekanisme apungan harga petrol dan diesel secara mingguan mulai 1 Januari lalu dengan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Pada 27 Feb lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan kabinet memutuskan untuk menurunkan harga siling bagi RON95 kepada RM2.08 seliter dari RM2.20 seliter. Manakala harga diesel dihadkan pada RM2.18 seliter.

