Paling Popular
Terkini

Kartunis Zunar akan memfailkan saman terhadap seorang pengguna Facebook dan seorang pengguna Twitter yang enggan memohon maaf kerana memalsukan kartun karyanya di media sosial.

Zunar atau nama penuhnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, hari ini berkata dia akan memfailkan saman itu terhadap pengguna Facebook Neezam Perkasa dan pengguna Twitter Tun Faisal di mahkamah Kuala Lumpur selepas Hari Raya.

Jelas Zunar, tindakan undang-undang itu hanya diambil terhadap kedua-dua mereka kerana tidak memohon maaf dalam tempoh tujuh hari yang diberikannya pada 9 April lalu.

Zunar sebelum ini mendesak dua pengguna media sosial dan seorang pengguna Facebook, Roslan Bian, membuat permohonan maaf terbuka kepadanya dan memuat naik permohonan maaf itu di laman sosial masing-masing.

Bagaimanapun, Zunar hari ini berkata, tindakan undang-undang itu tidak akan melibatkan Roslan kerana pengguna Facebook itu sudah memohon maaf melalui akaun media sosialnya pada 11 April lalu.

Dalam kiriman permohonan maafnya, Roslan berkata: Saya seikhlas hati memohon maaf kepada Zunar kerana menerbitkan karya tuan tanpa mengetahui ia sudah diubah suai pihak tidak bertanggungjawab. Saya akan lebih berhati- hati ketika perkongsian maklumat atau berita di media sosial selepas ini".

Zunar mengesahkan permohonan maaf Roslan namun berkata Neezam Perkasa dan Tun Faisal belum memohon maaf sehingga hari ini.

"Selepas Hari Raya, saya akan teruskan tindakan undang-undang (terhadap Neezam Perkasa dan Tun Faisal).

"Perkara ini melibatkan dua peruntukan undang-undang. Salah satu melalui siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang sebelum ini saya buat laporan.

"Satu lagi melalui tindakan sivil yang akan difailkan di mahkamah Kuala Lumpur," kata Zunar kepada Malaysiakini hari ini.

Kartunis veteran itu berkata tindakan undang-undang itu perlu kerana ia bukan melibatkan plagiarisme tapi juga bagi menjaga reputasinya sebagai kartunis.

"Kerja keras saya bukan saja diplagiat tapi juga mencemarkan nama saya sebagai kartunis.

"Ada orang di luar sana kata Zunar sudah insaf (dengan merujuk kartun yang dipalsukan).

"Saya tidak boleh terima kerana ini perkara serius," tegas Zunar.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS