Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayaran BSH fasa 2 Selasa depan
Diterbitkan:  May 24, 2019 8:05 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa pembayaran fasa kedua Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibuat bermula Selasa (28 Mei) depan.

Ini bererti, pembayaran itu dibuat kira-kira seminggu sebelum Hari Raya.

Dalam kenyataan media hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pembayaran itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank penerima yang layak.

"Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan pemohon yang terdapat pada borang permohonan BSH 2019," katanya.

Pembayaran itu dijangka memberi manfaat kepada 3.6 juta penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.42 billion.

Kadar BSH yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka, tambah Lim.

Di bawah program BSH 2019, isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 layak menerima bantuan RM1,000, sementara isu rumah dengan pendapatan RM2,001 sehingga RM3,000 akan menerima bantuan RM700.

Isi rumah dengan pendapatan RM3,001 hingga RM4,000 pula layak menerima RM500.

Bagi kategori berkenaan, kerajaan juga akan memberikan RM120 untuk setiap kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, terhad kepada empat orang anak bagi satu keluarga.

Pembantu Lim memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa pembayaran fasa kedua minggu depan tidak termasuk bantuan kepada golongan bujang berpendapatan rendah yang diumumkan sebelum ini.

Hari ini, Lim menekankan bahawa kementeriannya sudah mengambil langkah memastikan bantuan berkenaan memberi manfaat kepada golongan yang "benar-benar layak".

Lim juga mengingatkan bahawa kementeriannya melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan membuat semakan permohonan BSH termasuk maklumat penerima sedia ada bagi memastikan maklumat yang dikemukakan oleh pemohon adalah tepat dan hanya yang layak sahaja akan menerima BSH.

Tambah Lim, Kementerian Kewangan juga akan membuat semakan data bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), LHDNM, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Bagi individu yang ingin membuat rayuan kelayakan, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai 2019 hingga 15 Ogos 2019.

Lihat Komen
ADS