Sri Lanka tubuh j'kuasa parlimen siasat pengeboman Hari Easter
GLOBAL | Speaker Parlimen Sri Lanka Karu Jayasuriya telah melantik satu Jawatankuasa Parlimen Khas untuk menyiasat serangan ganas Hari Easter yang meragut lebih 250 nyawa dan mencederakan lebih 500 orang lagi, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Jumaat.
Jawatankuasa khas itu akan diketuai Timbalan Speaker Ananda Kumarasiri dan membabitkan tujuh anggota parlimen kerajaan termasuk bekas komander tentera Marsyal Tentera Darat Sarath Fonseka.
Jawatankuasa itu masih menanti pencalonan daripada parti pembangkang.
Ia akan menjalankan siasatan bebas berhubung serangan ganas itu dan melaporkan penemuannya kepada parlimen, kata Speaker Karu Jayasuriya.
Sembilan pengebom bunuh diri telah bertindak meletupkan diri mereka di beberapa gereja dan hotel mewah pada 21 April, menyebabkan ketakutan dan panik di seluruh negara pulau itu.
Sekurang-kurangnya 89 suspek telah ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan serangan itu dan mereka kini ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Keganasan, kata polis.
Sebuah kumpulan radikal tempatan yang dikenali sebagai National Thawheed Jammath, telah dipersalah atas serangan itu.
-Bernama

