Tentera pembunuh Rohingya cuma dipenjara tak sampai setahun
GLOBAL | Tujuh tentera Myanmar yang dipenjarakan atas kesalahan membunuh 10 orang etnik Rohingya dibebaskan dengan lebih awal, kata sumber yang enggan didedahkan identitinya.
Bercakap kepada Reuters sumber itu berkata anggota tentera terbabit dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun tetapi mereka dibebaskan tidak sampai setahun selepas ditahan.
Secara perbandingan, kerajaan Myanmar memenjara dua wartawan asing yang membuat pendedahan mengenai kekejaman terbabit lebih lama berbanding tentera yang melakukan pembunuhan tersebut.
Sebelum ini, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo - yang membongkar kekejaman tentera tersebut pada 17 september 2016 - menjalani hukuman penjara selama 16 bulan.
Kedua-dua mereka asalnya dijatuhkan hukuman tujuh tahun mengikut Akta Rahsia Rasmi Myanmar pada bulan Februari 2018.
Sumber yang memberi pengesahan pembebasan tentera tersebut terdiri daripada dua pegawai penjara dan dua tahanan.
Operasi sistematik tentera Myanmar di bahagian timur negara itu menyebabkan lebih 700,000 etnik Rohingya - yang beragama Islam - menjadi pelarian.

Ribuan yang lain dilaporkan diseksa atau dibunuh.
Naypyidaw enggan mengiktiraf etnik Rohingya sebagai rakyat negara itu dan menganggap mereka sebagai pendatang haram.
Tanpa pengiktirafan itu kerajaan berlepas tangan daripada sebarang tanggungjawab menjaga kebajikan serta keselamatan mereka.
Dalam kempen yang dijalankan tentera, mereka didakwa membakar kampung-kampung orang Rohingya serta melakukan pelbagai jenis keganasan lain termasuk membunuh serta merogol wanita dan kanak-kanak.
Pihak PBB telah menamakan beberapa pegawai tertinggi tentera Myanmar untuk disabitkan dengan kesalahan kempen penghapusan bangsa di negara itu.

