Vell Paari letak jawatan setiausaha agung MIC
S Vell Paari mengundur diri dari jawatannya sebagai setiausaha agung MIC.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden MIC, SA Vigneswaran yang menyerahkan surat lantikan baru kepada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Johor, M Asojan yang akan menggantikan Vell Paari.
Vell Paari dikatakan berundur atas sebab peribadi yang tidak dinyatakan dengan jelas.
Vigneswaran turut mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC AK Ramalingam sebagai setiausaha eksekutif parti tersebut.
Ketika dihubungi, Ketua Penerangan, V Gunalan mengesahkan kedua-dua lantikan tersebut.
“Presiden memberi surat lantikannya yang berkuat kuasa hari ini di ibu pejabat MIC, Kuala Lumpur,” katanya.
Asojan merupakan bekas Adun Gambir dan pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Johor dari tahun 2008 hingga 2013.
Manakala, Ramalingam merupakan seorang ahli perniagaan pernah dilantik sebagai setiausaha agung di bawah pimpinan bekas presiden G Palanivel sebelum dilucut keahlian semasa krisis MIC pada tahun 2014.
Feb lalu, Sarawak Report melaporkan bahawa berjuta-juta ringgit didakwa disalurkan kepada syarikat yang dikaitkan Maika Holdings antara 2003 hingga 2009.
Vell Paari merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maika Holdings sebelum penutupan syarikat MIC itu pada 2009.

