Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Perniagaan India: Jangan beku pengambilan pekerja asing

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menggesa kerajaan agar tidak membekukan pengambilan pekerja asing ke negara ini.

Presidennya, N Gobalakrishnan mendakwa dasar itu jika dilaksanakan bakal menjejaskan perniagaan usahawan India yang memerlukan sekitar 50,000 pekerja asing dalam pelbagai sektor perkhidmatan.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar perdana menteri Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam menyelesaikan isu itu.

“Ketika kami membawa isu ini kepada kerajaan Pakatan Harapan, kerajaan berjanji akan mengadakan sesi dewan (town hall forum).

“Setelah mengadakan beberapa siri sesi dewan, nampaknya isu ini masih tidak dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar MAICCI, di Kuala Lumpur semalam.

MAICCI merupakan sebuah gabungan dewan perniagaan merangkumi 20 pertubuhan mewakili peniaga India di negara ini. 

Menurutnya, Malaysia pada masa ini memiliki hampir lima juta pekerja asing sama ada yang masuk secara sah atau tidak sah.

“Permintaan kami hanyalah 50,000 (pekerja) sahaja untuk tujuh sektor seperti restoran, tukang emas, tekstil, pengedar surat khabar, gunting rambut, perniagaan runcit dan besi buruk. Ia hanya satu peratus daripada jumlah pekerja asing di negara ini.

“Sekurang-kurangnya kerajaan perlu memberi kelonggaran ke atas pembekuan pengambilan pekerja asing di sektor servis," tambah beliau.

Pada 17 Mei lalu, Kementerian Sumber Manusia menafikan berlakunya pembekuan pengambilan pekerja asing ke Malaysia sebaliknya ia penolakan permohonan disebabkan ketidakpatuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan yang ditetapkan kerajaan.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, pihaknya komited memastikan pematuhan berterusan oleh majikan terhadap garis panduan dan undang-undang perburuhan yang dikuatkuasakan dalam usaha mengurangkan amalan buruh paksa.

Bagaimanapun, Setiausaha Persatuan tekstil India dan kedai runcit (MITA), R Maheswary berkata kenyataan tersebut adalah tidak tepat.

“Memang betul, kerajaan tidak bekukan sektor servis secara keseluruhannya. Tetapi, sub sektor seperti industri tekstil, tukang emas, gunting rambut, kedai runcit, perniagaan barang lusuh, pengedaran surat khabar dibekukan daripada mengambil pekerja asing.

“Ironinya, kebanyakan sektor yang dibekukan daripada mengambil pekerja asing adalah berkait dengan peniaga-peniaga India,” tambahnya lagi.

Sementara itu Gobalakrishnan meminta kerajaan membenarkan majikan berurusan secara terus dengan Jabatan Imigresen dalam pengambilan pekerja asing tanpa melalui ejen.

Dalam perkembangan terbaru, MAICCI bercadang mengadakan satu forum pada 11 Jun ini di Kuala Lumpur untuk membincangkan isu berkenaan.

Pihaknya juga bercadang menjemput Menteri KPDNKK, Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Menteri Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy dan wakil KDN.

“Hasil perbincangan forum ini, serta tuntutan akan diserahkan kepada keempat-empat kementerian ini dan juga perdana menteri.

“Harap PM kita peka dengan masalah kami dan memberi penyelesaian sebelum perayaan Deepavali,” kata Gobalakrishnan.

Lihat Komen
ADS