K'jaan akan longgar syarat kemasukan pelancong China
Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kerajaan berhasrat melonggarkan syarat kemasukan pelancong China yang melawat Malaysia pada tahun Melawat Malaysia 2020.
"Saya gembira untuk mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia sedang berusaha ke arah melonggarkan beberapa syarat kemasukan pelancong China.
"Kami bekerja rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi," kata Saifuddin selepas merasmikan Pameran Foto 45 Tahun Kegemilangan Malaysia-China semalam, lapor The Star.
Saifuddin juga berkata hubungan kukuh selama 45 tahun antara Malaysia dan China adalah sebab mengapa kedua-dua negara boleh menangani isu-isu seperti projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
"Hubungan kami adalah berdasarkan semangat kemesraan, kepentingan bersama, tamadun lampau dan ini adalah mengapa kita dapat menyelesaikan dan menangani sekitar isu-isu seperti ECRL," katanya.
Menurut Saifuddin, Malaysia dan China memiliki sejarah hubungan sejak beratus-ratus tahun lalu.
Kedua-dua negara, katanya, kini memberi tumpuan kepada industri masa depan seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
"Kini hubungan kita bergerak ke hadapan bukan sahaja dari segi meningkatkan perdagangan tetapi juga melihat kepada industri masa depan," katanya.

