Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kaukus Reformasi: Benarkan tahanan undang-undang keselamatan bela diri

Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat enggan dilihat lemah dalam soal jenayah dan keganasan tetapi pada masa sama tetap mahu mereka yang ditahan di bawah undang-undang keselamatan diberi ruang secukupnya untuk membela diri.

"Berkenaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), kaukus berpandangan keselamatan adalah isu utama.

"Kita tidak mahu dilihat lemah dalam berdepan keganasan dan jenayah.

"Tetapi apa yang kami tekankan ialah agar tertuduh diberi ruang secukupnya untuk membela diri," kata Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kaukus di Parlimen, hari ini.

Walaupun kaukus tidak membincangkan hal itu dengan mendalam ketika mesyuarat hari ini, kata Anwar, anggota kaukus setakat ini setuju setuju ketegasan polis terhadap keganasan dan jenayah.

Bagaimanapun beliau berkata Sosma juga membolehkan penahanan terhadap kegiatan berkaitan keganasan dan jenayah, seperti memakai baju militan IS.

Maklum akan pendirian polis bahawa individu yang berbuat demikian mungkin berisiko melakukan keganasan, Anwar berkata perlu ada lebih penelitian berkenaannya.

Ia agar tiada individu yang dimangsakan undang-undang keselamatan atas kesalahan kecil, katanya.

Beliau berkata undang-undang keselamatan yang ada pada masa ini lebih keras daripada Akta Keselamatan Dalam Negara 1960 (ISA) yang telah dimansuhkan.

Mesyuarat kaukus hari ini turut membincangkan jawatan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang kini tidak diisi susulan terma pesuruhjaya lalu yang tamat pada 25 April.

Menurut Anwar, kaukus mahu kerajaan memastikan jawatan itu diisi secepat mungkin.

"Kami mencadangkan agar kerajaan segera mengisi jawatan itu, kerana ia dinyatakan dalam peraturan, dan pesuruhjaya berperanan menasihatkan kerajaan berkenaan isu hak asasi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS